Berita

Guna CCTV kawal pergerakan orang ramai di kawasan tumpuan

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah melihat inisiatif ToyBank di RumahPrihatin@GrandSeasons.
- Diterbit 16 September 2021 7:39 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan mengoptimumkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi pergerakan orang ramai yang berkunjung di tempat-tempat riadah di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya setelah peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) Jumaat lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ia sebagai usaha untuk memantapkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan warga kota bagi memastikan mereka selamat dan tidak menjadi punca kepada penularan wabak COVID-19.

“Kita tahu bahawa Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah merupakan pusat pelancongan yang menarik kerana ianya dibina khusus untuk negara kita menuju sebagai negara maju dan sering di kunjungi orang ramai.

“Untuk tujuan tersebut, kita akan menggunakan CCTV yang dilengkapi pembesar suara yang boleh dipancarkan dari semasa ke semasa bagi mengingatkan orang ramai untuk mematuhi SOP yang ditetapkan dan ia di kawal melalui sebuah bilik gerakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di RumahPrihatin sempena sambutan Hari Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Parang Abai @ Thomas, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengarah Eksekutif RumahPrihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah dan Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Komunkasi Komuniti, Datuk Seri Junaidy Abu Bakar, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Param Singh Pakar Singh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail.

Shahidan berkata, DBKL menggunakan kereta peronda yang dilengkapi sistem siaraya bagi mengingatkan orang ramai dari semasa ke semasa agar sentiasa mematuhi SOP.

“Penguatkuasa turut akan digerakkan bagi memantau keadaan malah kehadiran mereka membantu sekiranya berlaku kecemasan.

“Kemudahan ‘panic button’ akan turut akan dimanfaatkan bagi memantau terutama di tempat tumpuan pelancong.

“Kita mempunyai kira-kira 89 unit panic button di Putrajaya dan enam unit di Taman Tasik Titiwangsa dan sekiranya apa-apa berlaku ia boleh digunakan untuk mengingatkan orang ramai,” katanya.

Ujar Shahidan, pihaknya tidak bercadang untuk mengehadkan jumlahn pengunjung dan tempoh keberadaan mereka di dalam satu-satu kawasan.

“Sekarang ini keadaan masih lagi terkawal dan peraturan baharu inimelalui pemantauan laporan harian COVID-19 yang menjadi kriteria untuk mengawal keadaan,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas