Berita

Kerajaan tidak bercadang angkat Kampong Bharu sebagai tapak warisan dunia UNESCO

- Diterbit 13 Mac 2024 12:44 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa berkata pihaknya tidak bercadang untuk mengangkat Kampong Bharu sebagai tapak warisan dunia UNESCO kerana ia akan menyebabkan sebarang cadangan pembangunan di kawasan itu tidak dapat diteruskan.

Katanya, hala tuju dasar untuk membangunkan semula Kampong Bharu akan dikekalkan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 (PIPKB 2040) sebagai hala tuju perancangan dan pembangunan semula Kampong Bharu untuk tempoh 20 tahun akan datang.

“Pelan Induk ini akan menjadi rangka utama dan panduan utama dalam pembangunan serta pembaharuan semula Kampong Bharu.

“Selain itu Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu terpelihara.

“Percayalah, kerajaan akan berusaha mengangkat Kampong Bharu sebagai Bandar Melayu yang tersergam dengan megah di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang bertanya adakah Kerajaan mempunyai cadangan untuk menjadikan Kampung Baru di Kuala Lumpur digazetkan sebagai tapak warisan UNESCO.

Zaliha berkata pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat bermula daripada tapak warisan, yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, diikuti oleh warisan negara, yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan kemudian barulah warisan dunia, yang diberikan oleh UNESCO.

“Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampong Bharu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas