Berita

Kerajaan tidak akan biar kenaikan harga barang berlanjutan -Jalaluddin

JALALUDDIN (kiri) melihat produk usahawan bumiputera selepas melancarkan Direktori Usahawan Bumiputera Cheras, hari ini.
- Diterbit 5 Disember 2021 11:08 AM MYT

KERAJAAN akan membendung kenaikan harga barangan ketika ini bagi mengelakkan ia berlanjutan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai strategi bagi menangani isu tersebut sekali gus memastikan ia ditangani segera.

“Saya yakin dengan ketegasan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) krisis kenaikan harga ini dapat diselesaikan dengan cepat.

“Semua kementerian yang terlibat perlu saling bekerjasama untuk menangani isu berkenaan dan semua menteri yang terlibat serta pemain-pemain industri yang melibatkan barangan keperluan masyarakat mestilah berganding bahu dan mempunyai matlamat untuk mengawal harga daripada terus naik dan meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Direktori Usahawan Bumiputera Cheras, hari ini.

Beliau turut mengakui terdapat peningkatan harga yang berpunca segelintir peniaga menggunakan orang tengah di Wilayah Persekutuan.

“Harga di WP saya tidak kata terkawal tapi sesetengah barangan boleh diterima dan berada dalam kawalan kerajaan.

“Cuma ada segelintir peniaga dari kesisahan rakyat, mengambil kesempatan melalui jualan orang tengah. Ini yang kita kenal pasti sekarang,” katanya.

Jalaluddin turut memberi jaminan bahawa pihaknya tidak hanya akan bergantung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam membuat pemantauan dalam kalangan-kalangan peniaga.

Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan kerja-kerja pemantauan harga barangan keperluan harian dan sedang menanti pihak KPDNHEP untuk menurunkan kuasa penguatkuasaan kepada DBKL.-WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas