Berita

“Pertandingan ibarat roda”, Syafeek Ikhwan yakin mampu bersaing dalam LCK3

|SYAFEEK dan Zazo yakin mampu bersaing dengan peserta lain dalam LCK3
- Diterbit 5 Disember 2021 1:46 AM MYT

PESERTA program Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) did TV3, Syafeek Ikhwan mengaku bersaing hebat dengan pasangan duo Hariz Fayahet dan Wanie Ooi yang menunjukkan prestasi konsisten saban minggu.

Juara dunia di pentas i-Sing World 2018 itu, berharap dia bersama pasangannya Zazo Maulana terus melakukan yang terbaik.

“Alhamdulillah, gabungan saya dan Zazo Maulana mula mendapat keserasian. Malah pada konsert ketiga minggu lepas, kami mendapat pujian daripada Mas Idayu dan Ajai.

“Hasil penilaian panel juri, kedudukan kami melonjak naik dari tangga kelima pada minggu pertama ke tempat ketiga selama dua minggu berturut-turut.

“Tak dinafikan, Hariz dan Wanie mempamerkan paduan vokal yang hebat, cukup harmoni. Bahkan mereka konsisten setiap kali membuat persembahan.

“Akan tetapi apabila menyertai pertandingan, ia ibarat roda, ada di atas dan kadang-kala di bawah. Yakinlah, kami akan kejar!” katanya memberi jaminan kepada peminat serta penyokongnya.

SYAFEEK dan Zazo yakin mampu bersaing dengan peserta lain dalam LCK3

Dalam pada itu, Syafeek juga akur populariti yang diraih tidak seperti rakan-rakan seperjuangan lain dalam kerjaya nyanyian, walaupun pernah menjadi juara pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Mungkin saya belum cukup bagus untuk diterima umum. Apapun, saya percaya bahawa Allah adalah penentu segala-galanya terutama jika bercakap tentang rezeki.

“Soal populariti sebagai penyanyi yang hampir sepuluh tahun bertapak dalam bidang ini, saya serahkan kepada-Nya.

“Saya hargai peluang yang ditawarkan pihak produksi LCK3 dan TV3 kerana menerusi rancangan ini, pengikut akaun media sosial saya naik mendadak.

“Itu juga dinamakan rezeki dan saya amat berterima kasih,” ulasnya.
Di pentas LCK3, pegawai kerajaan itu berpasangan dengan Zazo atau nama sebenarnya Siti Zaleha Zolkeply, 30.

Syafeek turut percaya, pengetahuan dan ilmu dimiliki Zazo selaku guru muzik graduan UiTM boleh dijadikan senjata serta benteng buat mereka ‘berperang’ hingga ke garisan terakhir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas