Berita

Kerajaan teruskan bantuan kewangan bersasar RM1,000 kepada bakal haji B40

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 19 Januari 2024 7:10 PM MYT

BAKAL haji Muassasah kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan bersasar sebanyak RM1,000 melibatkan peruntukan berjumlah RM9.4 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bersetuju meneruskan bantuan itu yang diberikan sejak tahun lepas, khusus kepada bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Dengan bantuan ini, setiap bakal haji kumpulan B40 hanya perlu membayar RM12,356 daripada jumlah keseluruhan RM13,356,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) 1445H/2024M di sini hari ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan 63 peratus daripada kos haji.

Sementara bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus daripada keseluruhan kos haji.

Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk menunaikan ibadat itu tahun ini ditetapkan RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lepas.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na’im menasihatkan bakal jemaah haji termasuk kumpulan jemaah haji yang mendapat visa Furada atau Mujamalah supaya memilih pakej disediakan mana-mana 25 syarikat PJH yang telah dilesenkan TH bagi memudahkan pemantauan serta mengelak kes penipuan pakej haji.

Menzahirkan keyakinan terhadap 25 syarikat PJH, beliau berkata semua syarikat yang dilesenkan itu memiliki kapasiti teguh, kepakaran, pengalaman mencukupi, berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta mampu menjaga kebajikan jemaah haji ketika berada di Tanah Suci.

Antara 25 syarikat PJH yang dilesenkan TH ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Felda Travel Sdn Bhd, JAD Travel & Tours (M) Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas