Berita

Kerajaan rangka Dasar Anti Ali Baba, percepat inisiatif NETR

ANWAR (tengah) mempengerusikan mesyuarat di Putrajaya pada Isnin.
- Diterbit 13 Julai 2023 9:45 AM MYT

MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan ­pada 10 Julai lalu telah mempersetujui tindakan kerajaan dalam merangka Dasar Anti Ali Baba (rent-seeking) dan mempercepat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi sekali gus mendorong kerajaan serius dalam menangani serta membasmi aktiviti ini.

“Anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.

“Justeru itu, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara dengan penglibatan ­kementerian serta agensi kerajaan akan ­merangka dasar dan ­strategi per­undangan yang ­bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri,” kata beliau dalam satu kenyataan ­pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar yang ­juga merupakan Menteri Kewangan berkata mesyuarat MTEN turut bersetuju mempercepatkan inisiatif NETR sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

“Projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran ­serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

“Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan 10 ­projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai ­langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan ­pelaburan bernilai RM25 bilion,” jelas beliau.

Menurut beliau, ­melalui ­fasa tersebut, ia akan ­mewujudkan 23,000 pekerjaan ­berkualiti ­tinggi dan mengurangkan pelepasan ­karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara ber­timbunan (cumulative).

“Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai ini dan disusuli oleh peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos nanti,” kata beliau.

Melangkah ke hadapan, Anwar berkata MTEN akan terus ­merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tentangan melibatkan ­perekonomian negara bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara ­teratur demi ­me­ningkatkan potensi ekonomi negara.

“Kerajaan sentiasa ­berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat ­bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas