Berita

Kerajaan Persekutuan belanja RM390 juta untuk Program Khas Bumiputera Sarawak

- Diterbit 20 Mac 2024 4:33 PM MYT

KERAJAAN Persektuan sentiasa komited dalam memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan di Sarawak selaras dengan konsep inklusiviti, keterangkuman dan pengagihan sumber kekayaan yang saksama.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa, Program Khas Bumiputera Sarawak telah diperkenalkan pada tahun 2010 dan ia merupakan manfaat tambahan yang diberikan khusus kepada Bumiputera Sarawak termasuk suku kaum Dayak dan Orang Ulu.

“Antara inisiatif di bawah PKB Sarawak ialah program pengukuran tanah Native Customary Rights (NCR), pengukuhan institusi perundangan adat, pembangunan infrastruktur asas luar bandar, pembangunan ekonomi dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Roy Angau Anak Gingkoi (Lubok Antu – GPS) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kata Zaliha, tahun 2010 sehingga 2023, sejumlah RM390 juta telah dibelanjakan untuk pelaksanaan Program Khas Bumiputera Sarawak.

“Sebanyak 1,130,015 hektar pengukuran perimeter dan 100,003 pengukuran lot individu telah diukur dan seramai 41,866 orang menerima surat hak milik tanah NCR di bawah program pengukuran tanah NCR;

“Kira-kira 1,406 hektar tanah NCR dibangunkan dengan aktiviti pertanian di bawah program pembangunan ekonomi melibatkan 887 orang peserta dari kaum Dayak dan Orang Ulu,” katanya.

Selain itu, Zaliha berkata sebanyak 26 buah Mahkamah Bumiputera Sarawak di pelbagai daerah dinaik taraf dan sebuah Kompleks Mahkamah Bumiputera Sarawak dan Majlis Adat Istiadat Sarawak dibina di bawah program pengukuhan institusi perundangan adat

“Kerajaan juga menyediakan 11 buah Passenger Landing Facilities (PLF) atau jeti dan sembilan buah Rural Service Centre (RSC) atau dewan serbaguna siap dibina di bawah projek pembangunan infrastruktur luar bandar.

“Dan kira-kira 15,518 orang dari suku kaum Dayak dan Orang Ulu telah menerima manfaat di bawah program pembangunan modal insan seperti latihan kemahiran TVET, pertanian dan keusahawanan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan terus komited untuk melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan sosioekonomi Bumiputera Sarawak. Peruntukan sebanyak RM34.63 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Khas Bumiputera Sarawak pada tahun 2024.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas