Berita

DBKL anjur Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur 2019

NOR HISHAM (kanan) melihat sebuah lukisan bangunan di Kuala Lumpur selepas majlis pelancaran hari ini.
- Diterbit 7 Oktober 2019 8:19 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang mengambil langkah mewujudkan Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur atau KUL Design Month 2019 sejak tahun 2015.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, program tersebut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Seni Bina Sedunia yang jatuh pada hari Isnin, minggu pertama bulan Oktober setiap tahun.

“Tahun ini, Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur telah memasuki tahun kelima penganjurannya. Di bandar-bandar lain seperti Georgetown, Pulau Pinang dan Kuching, Sarawak pula, program seumpama itu dianjurkan oleh organisasi tertentu.

“Penganjuran yang sama juga dilakukan di bandar-bandar besar yang lain untuk memelihara bangunan warisan seperti London, Sydney dan Singapura,” katanya semasa berucap paad Majlis Pelancaran Bulan Rerkabentuk Kuala Lumpur 2019 di Menara DBKL di sini hari ini.

Ujar Nor Hisham, antara program yang bakal mendapat sambutan dan perhatian adalah Festival Busana Tradisional Kreatif.

“Program ini telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong yang dijadualkan mencemar duli bagi merasmikan program ini pada 19 Oktober nanti,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), A.R Lilian Tay Wai Fun dan Ahli Majlis Penasihat DBKL, Azli Yusof. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas