Berita

Kerajaan lulus peruntukan RM40 juta, akhiri polemik pendanaan TAR UMT

L-F, Chairman of TAR-UMT Alumni Council Chairman Tan Sri Chan Kong Choy, Chairman of Board of Governors TAR UMT Tan Sri Dato' Sri Liow Tiong Lai, Chairman of the Board of Trustees TARC Education Foundation Datuk Seri Wee Ka Siong, Minister of Transport Anthony Loke Siew Fook and Deputy Minister of Finance 2 Steven Sim Chee Keong after a meeting at TAR UMT college in Setapak Kuala Lumpur. — AZLINA ABDULLAH/The Star
- Diterbit 17 Januari 2023 2:13 PM MYT

KERAJAAN meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) sekali gus menamatkan polemik pendanaan yang membelenggu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kerajaan Perpaduan enggan memanjangkan polemik yang berkait dengan TAR UMT hanya disebabkan hubungan IPTS itu dengan MCA sebaliknya akan meneruskan sokongan dan pendanaan kepada universiti tersebut.

“Kita hendak sama-sama bergerak ke hadapan. Isu-isu yang boleh kita selesaikan, kita cuba selesaikan sebaik mungkin… Ini adalah antara isu angkara pertembungan politik sebelum ini.

“Apa yang penting, kerajaan hari ini adalah satu kerajaan yang merentasi pelbagai gabungan dan parti politik. Kita hendak kurangkan perbezaan dan perbanyakkan persamaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT di sini hari ini.

Pada majlis itu, Loke yang mewakili kerajaan menyerahkan surat kelulusan dan replika cek kepada pihak TAR UMT dan peruntukan itu dijangka dipindahkan kepada pihak pengurusan universiti esok.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT, Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim, bekas Presiden MCA Tan Sri Liow Tiong Lai dan bekas Timbalan Presiden MCA Tan Sri Chan Kong Choy.

Wee turut menyifatkan kelulusan itu sebagai ‘angpau’ tahun baharu kepada universiti tersebut dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mementingkan agenda pembangunan pendidikan tanpa mengira fahaman politik.

Katanya sehingga 2022, TAR UMT telah menerima dana sebanyak RM1.5 bilion melalui geran tahunan yang dihadkan kepada RM60 juta setahun.

Pada 2019, geran padanan itu yang dahulunya diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional telah dihentikan manakala geran pembangunan juga dikurangkan kepada hanya RM1 juta. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas