Berita

Kerajaan komited laksana program pengupayaan ekonomi Sabah, Sarawak

- Diterbit 22 Disember 2020 4:26 AM MYT

KERAJAAN komited dalam mengupayakan ekonomi anak negeri Sabah dan Sarawak, khususnya yang tinggal di pedalaman, dengan memberi penekanan kepada mereka mendapatkan peluang pendidikan, kemahiran dan keusahawanan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Arthur Jospeh Kurup berkata ini termasuk mempertingkat pengambilan pelajar berpotensi  untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan institusi latihan, memupuk keusahawanan dengan fokus pada kemahiran serta bantuan pembiayaan untuk pemasaran produk.

“Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk.

“Ini dapat dibuktikan apabila buat kali pertama dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang akan dibentangkan pada tahun depan, mengandungi satu bab khusus untuk pembangunan dua negeri ini,” katanya menjawab soalan Senator Dr Nuing Jeluing tentang langkah yang diambil kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk Sabah dan Sarawak.

Arthur berkata usaha itu jelas membuktikan kerajaan komited meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak dengan tidak meminggirkan mereka daripada arus pembangunan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas