Berita

DBKL Rancang tanam lebih Banyak pokok berbunga

- Diterbit 26 Mac 2021 1:20 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk menanam lebih banyak pokok berbunga seperti Tekoma untuk mengindahkan kawasan ibu kota sekali gus mempromosikannya bagi tujuan pelancongan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah bagaimanapun berkata sebelum merealisasikan hasrat itu pihaknya akan memberi tumpuan untuk menambah baik aspek penanaman dan penyelenggaraan bagi memastikan kitaran pendebungaannya teratur.

“Sekarang, kita telah menanam pelbagai pokok teduhan di sekitar ibu kota, bukan sahaja Tekoma tetapi juga pokok berbunga lain seperti Mempat, Bungor, Cassia Fistula, Jacaranda dan lain-lain.

“Semua pokok berbunga ini mampu mengindahkan lagi kawasan di tepian jalan, taman-taman awam dan kawasan lapang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa ini di ibu negara, masyarakat bagaikan menikmati musim bunga apabila pokok Tekoma mula mekar dengan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih sejak minggu lepas.

Suara itu disamakan seperti musim bunga sakura di Jepun dan Korea Selatan sekali gus menjadi daya tarikan kepada masyarakat serta mendapat perhatian banyak pihak termasuk liputan media.

Mahadi berkata sehingga kini terdapat 10,030 pokok Tekoma ditanam di seluruh Kuala Lumpur dengan  1,173 daripadanya berada di kawasan pinggir jalan.

“Kebanyakan pokok Tekoma ditanam di kawasan jalan seperti Jalan Klang Lama, Jalan Kuching, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Metroprima Kepong dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

“Ia ditanam di kawasan berkenaan kerana ia merupakan jalan-jalan utama dan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pertumbuhan pokok yang sihat selain bagi mengindahkan jalan tersebut apabila tiba musim bunga,” katanya.

Mahadi berkata DBKL juga akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) atau Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mencadangkan kajian berkaitan memanjangkan tempoh pendebungaan.

Sementara itu, fenomena musim ‘sakura’ yang berlaku di ibu kota juga mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang mencadangkan agar lebih banyak pokok berbunga ditanam di sekitar ibu kota, menerusi Twitter rasminya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas