Berita

Kerajaan komited bantu ringankan beban rakyat

MUHYIDDIN ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 hari ini.
- Diterbit 7 November 2020 10:43 AM MYT

KERJAAN terus komited untuk berusaha dalam meringankan beban kos sara hidup ditanggung rakyat dengan menyediakan pelbagai program perlindungan sosial yang komprehensif.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 secara maya anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertemakan ‘Kita Jaga Keluarga’ berkata, usaha diambil turut meliputi usaha memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Beliau berkata, inisiatif tersebut turut diberikan perhatian khusus dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan 6 November lalu meliputi usaha bagi membantu golongan berkenaan terjejas dengan pandemik COVID-19.

“Saya sedari keutamaan ini apatah lagi selepas menziarahi keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Kuala Lumpur Ogos lalu, di mana saya sendiri melihat ada dalam kalangan mereka bertungkus-lumus membina kehidupan lebih baik hingga melakukan lebih daripada satu pekerjaan bagi menampung keperluan kewangan keluarga. Saya sedar dan insaf akan realiti yang mereka hadapi ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan, bertepatan dengan situasi ancaman COVID-19, peranan setiap ahli keluarga amat penting untuk melindungi keluarga masing-masing selain perlu bertanggungjawab bagi membendung penularan pandemik itu dalam komuniti.

Pada masa sama katanya, pelbagai usaha yang diambil juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi institusi keluarga dari ancaman pandemik berkenaan.

“Setiap keluarga terkesan diberikan pelindungan sokongan emosi dan khidmat kaunseling bagi membina semula kekuatan supaya lebih cekal menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Keluarga terjejas dengan pandemik ini perlulah diperkasa dan diberi sokongan bagi memulakan kehidupan baharu serta teruskan kelangsungan hidup.

“Sistem sokongan komprehensif perlu libatkan semua pihak termasuk agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta serta orang perseorangan untuk peduli keluarga serta saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam hal tersebut kata Muhyiddin, kementerian berkaitan menyediakan Talian 15999 secara 24 jam untuk khidmat sokongan dalam membantu menangani isu tekanan emosi.

Selain itu jelasnya, nisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pula menyediakan Bantuan Khas Ibu Tunggal yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak dan ahli keluarga.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited menetapkan visi Malaysia sebagai negara mapan serta adil, saksama dan inklusif sekali gus dapat meningkatkan kemakmuran negara.

“Rakyat perlulah bersatu padu dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya adalah asas penyatuan negara bangsa. Ini adalah hasrat kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas