Berita

“Janganlah Lari Dari PKPD” – AYU DAMIT

- Diterbit 7 November 2020 8:30 AM MYT

PENYANYI Ayu Damit mengaku terkilan dengan sikap sesetengah masyarakat yang melarikan diri apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan mereka.

“Hal ini berlaku apabila ada yang jenis tak nak berkurung dalam rumah. Bagi saya, PKPD adalah arahan kerajaan yang wajib dipatuhi dalam usaha kita memerangi COVID-19.

“Saya merayu kepada masyarakat, janganlah lari dari PKPD, sedangkan kita semua tahu ini adalah untuk kebaikan kita bersama. Janganlah bersikap mementingkan diri sendiri.

“Lebih baik terus kekal berada di kawasan PKPD kerana anda boleh menjalani saringan kesihatan dan swab test atau ujian calitan. Ujian ini membolehkan anda tahu status kesihatan,” kata Ayu yang mengingatkan masyarakat, melarikan diri dari PKPD akan memberi kesan buruk kepada diri dan masyarakat.

“Apabila mereka lari dan kembali ke pangkuan keluarga selepas tamat tempoh PKPD, tidak mustahil virus COVID-19 akan menjangkiti keluarga anda.

“Mereka tak tahu status kesihatan kerana mengelakkan diri daripada swab test. Tambahan pula, ramai yang positif COVID-19 tidak mempunyai gejala seperti demam, sakit tekak dan sebagainya.

“Selain itu, mereka yang lari jangan fikir anda terselamat. Anda menjadi buruan polis,” ujar Ayu Damit yang juga perserta rancangan hiburan Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas