Berita

Gara-Gara Hantu Pocong Di Kubur, BABY SHIMA Mahu Jumpa Ustaz

Gangguan Pocong lakonan Baby Shima mempunyai mesej berguna.|BABY Shima akan terus muncul dengan banyak lagi drama pendek yang mempunyai banyak mesej untuk disampaikan kepada masyarakat
- Diterbit 8 November 2020 3:00 AM MYT

PENYANYI dan pelakon Baby Shima mengaku diganggu makhluk halus selepas selesai penggambaran drama pendek Gangguan Pocong (Kuburin Jasadku) pada lewat malam, seminggu yang lalu.

Lokasi penggambaran drama pendek seram ini dilakukan di kawasan tanah perkuburan dan bangunan lama yang sudah lama tidak didiami.

“Memandangkan masa pun agak terhad, kami mengambil keputusan untuk menyiapkan shooting pada malam itu juga.

“Kami mula shooting selepas maghrib dan berakhir pada lewat malam di  sebuah kawasan perkuburan. 

“Entah macam mana, kami lupa hendak baca doa secara berkumpulan seperti mana yang kami pernah lakukan sebelum ini.

“Walaupun saya sendiri berasa agak seram ketika di lokasi kerana berlakon cerita hantu, di kawasan kubur pula tu, tapi saya tidak fikirkan perasaan takut kerana mahu cepat-cepat habiskan shooting

“Saya ada baca surah tiga Qul  sendirian kerana risau jika diganggu,” katanya kepada Wilayahku.

DRAMA pendek, Gangguan Pocong lakonan Baby Shima ini cukup menyeramkan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Namun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, badan saya rasa sakit-sakit seperti ade beban berat di atas bahu.

“Sampai sahaja di rumah, dalam kepenatan saya memasang bacaan Al-Quran di laman youtube. Lama kelamaan rasa berat di bahu berkurangan,” ujarnya yang mengaku serik untuk berlakon di Kubur sehingga lewat malam.

Lebih menyeramkan apabila pengarah drama itu turut menerima kesannya apabila melihat jelmaan makhluk halus dalam rakaman video drama tersebut.

“Nak tahu, pengarah drama ini ada terlihat satu lembaga pelik yang hanya menampakkan mata dalam gelap dalam video shooting di kubur. 

“Sejak itu, sikap dia mula berubah, tidak ceria dan suka mendiamkan diri. Pendek kata, sudah seminggu sikap dia tetap macam tu.

“Saya dan kawan-kawan lain agak bimbang dengan keadaannya yang agak berbeza dari sebelum ini.

“Insya Allah, dalam masa terdekat kami akan bawa dia berjumpa dengan ustaz untuk berubat,” ujar Baby Shima lagi.

BABY Shima akan terus muncul dengan banyak lagi drama pendek yang mempunyai banyak mesej berguna kepada masyarakat.

Gangguan Pocong (Kuburin Jasadku) ini adalah drama drama pendek Baby Shima yang kelima dimuatnaik dalam saluran youtube miliknya, Baby Shima.

Antara drama lain adalah Sihir Pemisah, Peminat Misteri, Psycho, Susuk (Lau Milikku Selamanya), Orang Tua Tak Sedar Diri dan banyak lagi. Semuanya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Baby Shima.

Lagu popular Baby Shima yang masih menjadi siulan ramai adalah Pura-Pura Bujang, Roadblock Hatiku, Ikatan Asmara, Main Mata dan banyak lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas