Berita

Kerajaan kaji wujudkan kuarters pekerja asing- Annuar

- Diterbit 21 November 2020 8:56 AM MYT

KERAJAAN akan mengkaji bagi mewujudkan kuarters pekerja asing bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 di tapak pembinaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi tujuan itu.

“Ada pekerja asing yang duduk (tinggal) di bangunan yang baru siap dibina, jadi kita tidak mahu situasi ini berlaku lagi.

“Sebelum ini, telah berlaku penularan di tapak pembinaan Pavillion Embassy ketika gelombang kedua dan kini berlaku lagi sehingga wujudnya kluster tapak bina Damanlela,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Persatuan Penduduk Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che’ Ngah.

Annuar berkata, keadaan tersebut membuktikan tempat tinggal buruh asing jelas tidak memenuhi piawaian dan syarat sehingga boleh mendatangkan bahaya dan membawa kepada penularan wabak.

“Oleh itu, kita akan lihat apakah kaedah yang boleh dipakai termasuk mengadakan tempat tinggal berpusat, bagi pekerja asing ini.

“Mereka (kontraktor) yang menggunakan khidmat pekerja asing perlu memastikan mereka bebas wabak sebelum dibawa masuk dan mempunyai tempat tinggal yang diluluskan,” katanya.

Sehingga 18 November, sejumlah 3,128 pekerja tapak binaan di kawasan tapak bina melibatkan Kluster Damanlela, di Kuala Lumpur dan Selangor telah disaring dan merekodkan 1,346 kes positif.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata belum terdapat keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyaring kesemua pekerja asing terlibat dan dua tapak pembinaan berkaitan telah ditutup. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas