Berita

“Kalau saya mati dalam UMNO, Alhamdulillah” – Annuar

- Diterbit 21 November 2020 5:26 AM MYT

“SAYA memang mahu mati di dalam UMNO”, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri TPr Annuar Musa.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, selain mati di dalam agama Islam, memang niatnya mahu mati didalam UMNO.

“Sesetengah kawan-kawan saya yang sudah lama berjuang dalam UMNO, (akhirnya) mati dalam parti lain.

“Sebab mati ini ketentuan Illahi, jika dia kata saya mati di dalam UMNO, kira ok lah. No problem, Alhamdulillah. Yang penting mati beriman, itu saja,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Komuniti Kuala Lumpur di bawah Program Wilayah Cakna 3.0 di Menara 3 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che’ Ngah.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu kenyataannya kepada portal berita FMT menyifatkan Annuar sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan Umno.

“Dia ‘dah mati’ dalam Umno tetapi tak mahu lompat ke Perikatan Nasional (PN),” katanya ringkas kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu yang menegaskan UMNO perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin Yassin ketika sesi wanwancara bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan anjuran UMNO Online baru-baru ini.-AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas