Berita

Agih kepada penjaja jika menang saman RM20 juta – Annuar

- Diterbit 21 November 2020 9:05 AM MYT

SELEPAS menuntut saman daripada Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai dan portal berita Malaysiakini sebanyak RM20 juta, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata beliau mahu mengagihkannya kepada penjaja di Wilayah Persekutuan.

Annuar berkata, tuntutan saman itu dibuat setelah mendapati ia merupakan tuduhan yang berunsur fitnah dengan niat mahu menjatuhkan maruahnya sebagai menteri.

“Sebelum ini, ada juga tuduhan liar dari pelbagai pihak kerana saya merupakan ahli politik. Bila kena tuduh tu, marah jugalah sikit-sikit, namun kali ini ia berunsur fitnah dan agak keterlaluan,

“Saya pun menghubungi peguam dan menuntut permohonan maaf secara rasmi daripada Ahli Parlimen Cheras.

“Sekiranya dia tidak mahu menarik balik (tuduhan), dia tak nak minta maaf secara rasmi dan jika dia tidak dapat buktikan saya menjual tanah tersebut, saya tuntut dengan Kok Wai untuk bayar dengan saya RM10 juta.

“Dan satu pihak lagi adalah portal Malaysiakini RM10 juta juga. Jadi ada RM20 juta,” katanya kepada pemberita di Menara 3 DBKL di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya murah rezeki, dan memenangi tuntuttan saman RM20 juta tersebut, beliau tidak akan mengambilnya walau satu sen.

“Kalau menang saman itu saya tidak akan ambil satu sen pun, sebaliknya saya akan agihkan kepada penjaja di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP tersebut dalam satu sidang medianya di Parlimen menuduh beliau menjual 42 keping tanah milik DBKL sejak Annuar dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan lapan bulan dahulu.

Walaubagaimanapun, Annuar menafikan dakwaan tersebut dan mengarahkan peguamnya menuntut permohonan maaf daripada Kok Wai. -WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas