Berita

Kerajaan akan perkenal program pertanian bersasar di bandar – PM

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Februari 2024 4:50 PM MYT

KERAJAAN akan memperkenal program pertanian bersasar di bandar sebagai anjakan kepada pengeluaran hasil pertanian negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan program pertanian bandar di negara jiran Singapura wajar diteroka serta dicontohi di kawasan kekurangan tanah di bandar dan pinggir bandar dengan permulaan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan kementerian lain bersama agensi berkaitan diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan perancangan yang sesuai bagi program itu.

“Di samping kita teruskan usaha sedia ada bidang pertanian, kita juga perlu tumpukan kepada pengeluaran pertanian di bandar dengan fokus kepada penglibatan golongan miskin bandar.

“Saya juga minta menteri (berkaitan) meneliti perkara ini termasuk menyediakan peruntukan tambahan khas dalam bidang ini bagi meningkatkan kegiatan pertanian di bandar,” katanya semasa sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar merasmikan majlis penutup program itu yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Menteri Kabinet.

Menyentuh mengenai penyasaran subsidi, Perdana Menteri berkata langkah yang bakal diumum oleh kerajaan tidak akan membebankan rakyat terutama kumpulan B40 dan M40.

“Kalau kita naikkan (harga) minyak mentah atau minyak masak, katakan RM2, kita tidak bebankan pengguna. Maknanya, B40 dan M40 tidak perlu bayar tambahan kerana kita masukkan dalam akaun mereka.

“… jadi, daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kita bagi RM20 (kepada kumpulan B40 dan M40). Jangan bimbang, harga minyak sama bagi kumpulan ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas