Berita

Kenyataan Menteri WP tidak subjudis seperti didakwa

ANNUAR (tiga dari kanan) menyaksikan wakil penduduk mengagihkan bantuan makanan daripada YWP di rumah panjang Perumahan Awam Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Gambar NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 17 April 2020 12:18 AM MYT

PUTRAJAYA – MCA Segambut menolak dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis apabila menyentuh soal keperluan 100 keluarga di rumah panjang Bukit Kiara untuk mendapat kediaman baharu.

Pengerusinya, Datuk Daniel Ling Sia Chin berkata, setelah merujuk kepada penasihat guaman, pihaknya mendapati kenyataan pihak tertentu mengenai dakwaan itu adalah bersifat melulu.

Ini kerana katanya, pihak Menteri Wilayah Persekutuan langsung tidak menyatakan tentang kedudukan pihak pemaju membabitkan projek pembangunan dan kaitannya dengan isu pencerobohan ke atas Taman Awam Rimba Kiara.

DANIEL LING

“Pihak menteri tidak menyentuh soal merit kes (mahkamah), sebaliknya bercakap tentang komitmen membangunkan perumahan untuk keluarga di rumah panjang tersebut  yang hanya boleh dilakukan setelah mendapat keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Daniel Ling berkata, semasa kunjungan ke rumah panjang Perumahan Awam Bukit Kiara, Sabtu lalu, Annuar membuat lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga di situ yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas itu, kata beliau, dalam sidang akhbarnya, Annuar telah menyatakan bahawa memandangkan penduduk telah tinggal di rumah panjang tersebut selama 38 tahun, maka mereka layak untuk memiliki rumah sendiri manakala generasi kedua dibenarkan membeli sebuah lagi rumah pada kadar harga diskaun.

“Pihak menteri juga menegaskan tidak ada pokok yang akan diusik di Taman Awam Rimba Kiara dan tiada jalan dibina bagi memelihara kawasan hijau itu.

“Tan Sri Annuar Musa juga mengulangi komitmen beliau bahawa tiada sebarang pencerobohan berlaku di dalam kawasan Taman Awam Rimba Kiara itu,” jelas beliau.

Beliau berkata, Annuar juga mengetahui tentang kes yang sedang dalam proses pendengaran di Mahkamah Rayuan itu malah mengulangi beberapa kali bahawa, semua pembangunan berhampiran taman awam itu hanya boleh dijalankan selepas mahkamah mengeluarkan keputusan.

“Ketika berdepan dengan krisis kesihatan yang tidak dijangka, seluruh negara perlulah bersama untuk menyekat penularan wabak Covid-19.

“Sebarang perbezaan pandangan perlu diletakkan ke tepi dahulu dan keselamatan serta kebajikan rakyat mesti diutamakan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas