Berita

Majlis Belia Segambut sambut baik komitmen Menteri Wilayah Persekutuan pelihara Taman Awam Rimba Kiara

|MICHEAL CHIA
- Diterbit 16 April 2020 11:40 PM MYT

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Kawasan Segambut (MBKS) menyambut baik komitmen Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa yang menegaskan kawasan hijau Taman Awam Rimba Kiara di sini tidak akan diganggu daripada sebarang pembangunan.

Timbalan Pengerusinya, Michael Chia Yik Yan berkata, pihak MBKS amat menghargai keprihatinan pihak menteri terhadap isu tersebut.

“Selama ini ramai yang keliru apabila diberitahu pembinaan rumah mampu milik akan dibina di atas tapak Taman Awam Rimba Kiara.

“Namun selepas penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan pada 11 April lalu, barulah kami faham bahawa bukan tanah di Taman Awam Rimba Kiara yang mahu dibangunkan malah tidak akan ada sebarang gangguan daripada kerja-kerja pembangunan tersebut.

“Kami juga baru faham bahawa terdapat dua taman iaitu Taman Awam Rimba Kiara dan Taman Persekutuan Bukit Kiara. Sebagai belia yang cintakan kehijauan dan mementingkan keseimbangan alam sekitar, kami berasa lega di atas penjelasan tersebut,” ujarnya kepada Wilayahku.

MICHAEL CHIA

Michael yang juga Bendahari Majlis Belia Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memastikan taman awam tersebut dapat terus dipelihara malah dinaik taraf dari segi kemudahannya untuk penduduk setempat mengamalkan gaya hidup sihat.

Sabtu lalu, Annuar ketika melakukan lawatan ke kawasan rumah panjang Perumahan Awam Bukit Kiara menegaskan, pihaknya tidak akan membenarkan sebatang pokok pun di Taman Awam Rimba Kiara disentuh dan tiada sebarang kerja-kerja pembangunan akan dijalankan di kawasan hijau tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas