Berita

MyGrocer@Wilayah buka peluang usahawan untuk warga kota

PROGRAM Perantis Usahawan MyGrocer@Wilayah mampu meningkatkan taraf serta mengubah kehidupan peserta.
- Diterbit 19 Jun 2022 11:17 AM MYT

WARGA kota yang berminat menjalankan perniagaan dalam bidang peruncitan dijemput untuk menjadi usahawan di bawah bimbingan MyGrocer@Wilayah.

Menurut Ketua Operasi MyGrocer@Wilayah, Abu Zaki Abu, pihaknya mensasarkan seramai 20 usahawan untuk fasa pertama yang bermula pada 1 Jun lalu.

“Peserta yang berjaya akan dilatih selama enam bulan dan sejak ia bermula 1 Jun lalu, kami telah mendapat 10 peserta.

“Kita kini sedang mencari baki 10 peserta untuk mencukupkan kuota bagi fasa ini,” katanya kepada Wilayahku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wahyu pada Rabu.

Jelas Abu Zaki, maklum balas yang diterima daripada peserta amat memberangsangkan kerana mereka telah berjaya mencatatkan jualan yang memberangsangkan meskipun program itu baru dilaksanakan.

“Mereka ini asalnya merupakan peniaga dan telah pun mempunyai pengalaman dalam perniagaan. Mereka juga berjaya mencatatkan jualan harian lebih RM2,000.

“Selain itu, terdapat seorang peserta perintis yang telah berjaya mencatat jualan tertinggi RM3,300 dalam tempoh satu hari dan ini menunjukkan program ini mampu untuk mengubah kehidupan warga Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata tawaran tersebut terbuka kepada semua golongan lelaki dan perempuan dan berumur di bawah 35 tahun serta mempunyai lesen memandu kenderaan perdagangan GDL.

“Peserta MyGrocer tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk mendapatkan trak atau pun barangan kerana semuanya diberikan bantuan.

“Selain itu, kami juga memberikan harga yang lebih murah berbanding tempat-tempat lain dan ia memudahkan bakal usahawan untuk menjana pendapatan tanpa perlu mencari kawasan untuk berniaga,” katanya.

Abu Zaki berkata, program MyGrocer@Wilayah adalah bersifat social enterperise yang menekankan elemen sosial dan perniagaan sekali gus memberikan perkhidmatan dalam bentuk penyediaan barangan makanan yang murah serta berkualiti untuk warga PPR dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kebanyakan penduduk di PPR dan PA ini merupakan golongan B40 dan mereka sering berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan makanan dengan harga yang lebih murah.

“Sudah pasti kita mencari keuntungan untuk memastikan program ini berterusan dan pada masa sama kita juga tidak lupa dengan tanggungjawab sosial oleh yang demikian, kita jual dengan harga jimat untuk memastikan penduduk PPR dan PA mendapat manfaat,” katanya.

Tambahnya, pihaknya tidak mendapat sebarang subsidi daripada mana-mana kementerian termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Kita juga tidak mendapat sebarang bantuan, cumanya melalui program perantis bersama Yayasan Wilayah Persekutuan,”katanya. -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas