Berita

Kenangan 15 tahun hangus terbakar

KEADAAN rumah Fatima yang musnah terbakar.
- Diterbit 18 Jun 2022 1:00 AM MYT

DUA buah keluarga berputih mata apabila kediaman yang terletak di Apartmen Delima, Jalan Klang Lama terlibat dalam kebakaran kira-kira pukul 4 petang pada 7 Jun lalu.

Menceritakan detik kejadian, Siti Fatima Awang, 55, berkata kebakaran yang bermula di salah sebuah bilik tidur di rumahnya terlalu cepat merebak dan dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga.

“Api sangat marak sehingga menjejaskan rumah di tingkat atas. Saya dan keluarga kerugian lebih daripada RM10,000,” ujarnya yang mendiami rumah tersebut bersama 11 ahli keluarga lain.

Katanya, kenangan selama 15 tahun bersama keluarga musnah sekelip mata namun tetap bersyukur tiada kemalangan jiwa memandangkan ketika kejadian hanya dia seorang sahaja yang berada di rumah.

Meskipun diuji sedemikian rupa namun dia bersyukur apabila Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil memberikan bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan asas seperti makanan, selimut dan bantal.

Alhamdulillah. Terima kasih banyak kepada pihak YWP atas
bantuan ini. Sekurang-kurangnya ia memberi keselesaan buat kami yang menumpang seketika di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini,” ujarnya yang bakal menerima rumah ganti daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Terdahulu, Siti Fatima dan ahli keluarga ditempatkan di PPS  Dewan Sekolah Agama KAFA Ahmad Shah, Jalan Klang Lama.

NORMAH (kanan) menerima sumbangan daripada wakil YWP.

Sementara itu, jirannya yang turut terkena tempias kebakaran tersebut, Normah Mohammad, 60, tidak ketinggalan menerima bantuan daripada YWP.

“Terima kasih YWP sangat prihatin walaupun rumah kami tidak terjejas teruk tetapi masih tersenarai sebagai penerima bantuan tunai,” ujarnya yang terharu atas keprihatinan tersebut.

Katanya, sewaktu kejadian, dia bersama anaknya berada di rumah dan mereka terdengar jeritan meminta pertolongan.

“Saya terus meluru keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut diberitahu rumah di tingkat bawah sedang terbakar,” jelasnya menyatakan kebakaran tersebut menyebabkan hampir 70 peratus rumahnya dipenuhi jelaga.

Katanya proses pembersihan jelaga akan memakan sedikit masa memandangkan ia perlu dilakukan sendiri namun kemungkinan besar kediamannya boleh diduduki dalam masa yang terdekat.

Sejurus kejadian, Normah menetap sementara di rumah anaknya yang terletak di kawasan berhampiran. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas