Berita

Kementerian Pengajian Tinggi diwujudkan semula

DR. NORAINI AHMAD dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
- Diterbit 9 Mac 2020 11:35 AM MYT

PUTRAJAYA – Barisan Kabinet yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan beberapa kementerian distruktur semula antaranya Kementerian Pendidikan.

Perdana Menteri berkata, kementerian tersebut dalam struktur sedia ada dibebani dengan bidang tugas amat besar serta mencabar kerana ia meliputi pendidikan dari peringkat prasekolah hinggalah ke pengajian tinggi.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di samping mengekal dan memperkasakan Kementerian Pendidikan.

“Dengan ini, KPT akan dapat memberikan fokus kepada sektor pengajian tinggi dengan Kementerian Pendidikan memberikan tumpuan kepada pendidikan pra-sekolah, rendah dan menengah,” katanya.

Dalam pengumuman itu, Muhyiddin menyenaraikan Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebagai Menteri Pendidikan yang juga Menteri Kanan manakala Timbalan Menteri I, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang akan dilantik sebagai Senator manakala Timbalan Menteri II, Muslimin Yahaya.

Menteri Pengajian Tinggi pula disandang Datuk Dr. Noraini Ahmad manakala Timbalan Menteri, Datuk Dr. Mansor Othman

Muhyiddin turut membentuk sebuah kementerian khusus iaitu Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan dengan mengumumkan pelantikannya Menterinya,
Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Timbalan Menteri, Datuk Seri Tiong King Sing

Tambahnya, sebuah kementerian khusus iaitu Kementerian Alam Sekitar akan diwujudkan dengan pelantikan Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan timbalannya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang akan dilantik sebagai Senator.

Perdana Menteri berkata, satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili manakala Timbalan Menteri, Datuk Hanifah Hajar Taib.

“Kerajaan serius untuk menangani isu-isu pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak. Kabinet saya akan memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63 akan diterjemah dalam bentuk dasar dan program yang memberi manfaat secara
langsung kepada penduduk di negeri Sabah dan Sarawak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas