Berita

Kementerian Komunikasi cari penyelesaian untuk bantu industri kreatif

- Diterbit 27 Februari 2024 5:10 PM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi sedang mencari penyelesaian bagi membantu memperkemas operasi dalam industri kreatif di samping memastikan perlindungan yang lebih baik untuk bakat-bakat pemainnya, kata Timbalan Menterinya Teo Nie Ching.

Beliau turut mengetengahkan keperluan untuk membangunkan strategi baharu bagi menyokong masa depan industri kreatif, terutama apabila melihat kepada prospek tidak menentu yang dihadapi oleh pemain industri berkenaan hari ini.

“Sebagai industri yang dinamik, bakat-bakat dalam ekonomi kreatif ini bekerja keras untuk membuktikan bakat mereka, dan seharusnya mereka kekal relevan dalam industri. Usaha kami membawa pembaharuan dalam industri ini, yang bertepatan dengan Techvolution, juga merupakan sebahagian daripada idea ini,” katanya.

Berucap di Sesi Makan Tengah Hari Rangkaian Kerja “Techvolution 2024: Towards A Connected Future For Malaysia” di sini hari ini beliau turut memuji Techvolution terhadap usahanya yang gigih dalam menyediakan platform untuk sesi perbincangan dan sesi percambahan idea mengenai industri kreatif.

“Selain itu, Techvolution juga telah menyediakan pentas khas untuk memperkenalkan The R&D Studio, sebuah studio kandungan kreatif Malaysia yang memenangi anugerah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur persidangan Techvolution kerana menawarkan platform ini untuk dialog dan pertukaran idea,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kreatif The R&D Studio Sdn Bhd Irwan Junaidi dalam pembentangannya berkata majlis hari ini bertujuan meningkatkan rangkaian kerja dalam kalangan pemain industri kreatif dan memudahkan pertukaran idea mengenai industri.

Techvolution 2024, anjuran SWAG Holdings Sdn Bhd, menyasarkan untuk menyediakan persidangan komprehensif merangkumi pelbagai topik yang popular dalam senario teknologi semasa seperti kenderaan elektrik, kecerdasan buatan (AI), ekonomi kreatif dan globalisasi.

Acara itu menarik kehadiran hampir 300 peserta daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta, termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Sdn Bhd, Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd, dan DRB-HICOM. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas