Berita

Rezeki dari kayu balak hanyut di laut

RAHIM gigih menggergaji kayu balak hanyut untuk dijadikan papan di pantai Tanjung Kiamsam baru-baru ini.
- Diterbit 21 Februari 2020 6:01 AM MYT

LABUAN – Setiap berlaku ombak besar begitu banyak kayu balak tersadai di pesisir pantai di Tanjung Kiamsam di sini. Balak-balak itu dipercayai hanyut dari Limbang dan Lawas, Sarawak yang jaraknya sejauh kira-kira lebih 65 kilometer.

Bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Demikian juga bagi Rahim Ghani, 44, yang melihat kayu balak hanyut itu sebagai rezeki buatnya sekeluarga.

Dia dan keluarganya dahulu terpaksa berhijrah dari Selatan Filipina akibat konflik perang di sana sebelum ditempatkan di Labuan. Jadi apa sahaja pekerjaan yang boleh menjadi mata pencariannya sudah pasti perlu diraih meskipun terpaksa bekerja keras tanpa mengira penat dan lelah.

Dengan hanya beroperasi di bawah pokok, Rahim yang memegang status penduduk tetap mengambil kayu balak hanyut tersebut untuk dipotong menjadi papan.

Apa yang menarik, dia hanya menggunakan mesin gergaji kayu untuk memotong balak tersebut menjadi kepingan papan.

“Balak yang sudah dipotong menjadi papan itu sesuai dibuat bot dan ada juga yang dijual. Saya buat semua ini selepas belajar daripada kawan,’’ katanya yang sudah 20 tahun mengusahakan pekerjaan itu.

Katanya, di kawasan Kiamsam itu, ada beberapa lagi rakannya yang turut mengusahakan papan daripada kayu balak hanyut. Mereka bersama-sama menanti rezeki muncul dari laut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas