Artikel

Mencari mentor

MENTOR haruslah seorang yang bukan sahaja hebat, tetapi juga ‘dekat’ dengan anda.
- Diterbit 24 September 2021 8:03 AM MYT

DALAM mitilogi Greek, Mentor adalah anak kepada Heracles dan Asopos. Pada usia tuanya dia berkawan dengan Odysseus. Apabila Odysseus terpaksa berangkat untuk menyertai Perang Trojan, dia meminta Mentor menjaga anaknya Telemachus. Mentor juga diminta menjaga seluruh istana.

Selepas perang tamat, Odysseus tidak terus kembali ke Ithaca sebaliknya meneruskan pengembaraan.

Menyangka raja itu terkorban di medan perang, banyak lelaki berhasrat untuk mengahwini permaisurinya, Penelope.

Ketika itulah Dewi Athena menyamar menjadi Mentor lalu mengajar Telemachus cara-cara melindungi emaknya daripada gangguan lelaki-lelaki tersebut.

Akhirnya Penelope terselamat daripada gangguan-gangguan itu sehinggalah Odysseus kembali.

Hubungan rapat antara Mentor yang sebenar dengan Telemachus, serta kesungguhan Mentor yang menyamar (Dewi Athena) mengajar Telemachus inilah menjadi sebab kenapa nama peribadi Mentor diguna pakai dalam bahasa Latin dan bahasa-bahasa lain sebagai istilah yang bermaksud seseorang yang menyampaikan kebijaksanaan dan berkongsi pengetahuan dengan rakannya yang kurang berpengalaman.

Mentor adalah watak yang tidak boleh diremehkan oleh sesiapa sahaja yang mahu berjaya baik dalam pelajaran, perniagaan, pekerjaan dan segala sesuatu yang lain.

Mentor haruslah seorang yang terbukti berjaya dalam bidangnya, memiliki kelebihan-kelebihan tertentu, dan yang lebih penting dia bersedia berkongsi ilmu.

Seorang mentor yang baik akan memberikan inspirasi, akan membangunkan emosi, membuka minda, mengembangkan potensi, menghubungkan anda dengan segala yang perlu.

Mereka menyediakan ruang yang selamat untuk belajar, bersedia menjawab dan menjelaskan tanpa jemu, tidak kira bagaimana bodoh sekalipun bunyi soalan daripada menteem yakni anak didiknya.

Mentor yang hebat tahu potensi anda dan tidak akan berputus harap terhadap keupayaan anda, sebagaimana yakinnya Jackie Chan kepada Jaden Smith dalam The Karate Kid.

Dalam dunia pekerjaan mentor adalah orang yang menunjuk cara untuk anda menjadi lebih baik, membuka peluang baharu jika ada, menjadi tempat mengadu pada waktu yang perlu dan menyelamatkan anda daripada berasa keseorangan dan bersendirian.

Tanpa mentor, amat sering berlaku, seseorang itu akan mudah buntu dan hilang arah.

Dia mungkin bermula dengan baik atas usahanya sendiri, tetapi di pertengahan jalan, dia mula tidak tahu haluan mana perlu dituju. Lebih malang lagi jika dia kehilangan haluan ketika baru sahaja memulakan langkah.

Mentor boleh menyelamatkannya daripada berada dalam situasi begitu. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada padanya dia boleh menunjukkan jalan dan membimbing menteenya melalui jalan itu.

Dengan perkataan lain, dia adalah pemandu dan dia juga adalah mekanik yang akan menemani di sepanjang perjalanan.

Bagaimana hendak mendapatkan mentor? Perkara pertama hendaklah dengan mengenal pasti bidang yang ingin, atau telah anda ceburi.

Pastikan betul-betul bahawa itu memang bidang yang anda minati sepenuh hati. Kemudian nilai sendiri setakat mana kebolehan anda, di mana lebih dan di mana kurangnya.

Ingat, bahawa kekurangan itulah yang harus anda atasi dan kelebihan itu pula harus anda gilap. Di situlah nanti terletaknya peranan orang yang anda jadikan mentor.

Siapa orang itu? Seorang mentor boleh muncul dari mana sahaja, sama ada lingkungan kerja, guru, pensyarah, ahli komuniti, malah rakan rapat yang mempunyai lebih banyak pengalaman dan telah sukses dalam sesuatu bidang.

Ia tidak semestinya daripada bidang yang sama dengan yang kita libati, walaupun itu yang sebaik-baiknya. Ada juga mentor dari bidang berbeza, tetapi mempunyai ilmu-ilmu kehidupan yang hebat untuk dikongsi bersama.

Pokoknya sebelum memilih mentor pastikan dulu anda menilai individu berkenaan serapi mungkin.

Apakah kelebihan-kelebihan yang dia ada? Kejayaan bagaimana yang telah dicapai olehnya? Perhatikan kesesuaiannya dengan apa yang ingin anda pelajari.

Amati cara dia berfikir, bertindak, menguruskan masa, berinteraksi, dan sebagainya. Selepas menemui ciri-ciri yang anda perlukan, mulakanlah langkah untuk cuba berkenalan dengannya.

Anda boleh sahaja berterus terang memberitahu hajat anda. Tentang niat untuk menjadikan dia mentor.

Tetapi jika ada silu, anda boleh juga mulakan dengan berbaik-baik terlebih dahulu. Tunjukkan anda berminat dengan apa yang dia minati, banyak bertanya dan rajinrajinlah ajak berbincang sehingga akhirnya terbina ikatan dan kemesraan di antara anda berdua. Selepas itu segala-galanya akan bermula dengan sendiri.

Dalam hal memilih mentor ini, anda mestilah realistik. Ingat satu perkara, bahawa pra syaratnya: mentor itu haruslah seorang yang bukan sahaja hebat, tetapi juga ‘dekat’ dengan anda.

Tidak salah mengidolakan Bernard Arnault, billionaire Perancis yang kini tersenarai sebagai orang terkaya di dunia dengan nilai kekayaan melebihi RM850 bilion, tetapi untuk menjadikan dia mentor anda adalah sesesuatu yang tidak begitu realistik pada ketika ini.

Carilah seorang lain yang boleh anda akses secara lebih mudah, sebaik-baiknya orang yang boleh berinteraksi dengan anda seminggu beberapa kali, kalaupun bukan setiap hari.

Setelah memilih mentor dan jika mahu berjaya seperti mentor maka kita perlulah mengikuti segala aturan dan langkah yang pernah dilalui oleh mentor tersebut.

Saya mengenali seorang pengusaha pengangkutan di utara Semenanjung. Dia belajar setakat tingkatan tiga sahaja. Sejak kecil, dia sangat berminat hendak menjadi pemandu lori.

Setiap hari selepas balik dari sekolah dia akan ke gudang kepunyaan sebuah syarikat pengangkutan berdekatan rumahnya untuk melihat pemandu-pemandu lori di situ bekerja.

Di luar sangkaannya dia diperhatikan oleh pemilik syarikat itu. “Dia bertanya kenapa saya asyik ke situ, dan saya berterus-terang memberitahu sebabnya.

Dia tersenyum dan kemudian menawarkan saya bekerja sementara di situ sebagai pekerja am. Itu pun selepas waktu sekolah sahaja, gajinya cuma RM7 sehari.

Tidak lama selepas itu saya berhenti sekolah dan terus bekerja di situ sebagai kalindan lori.

“Beberapa tahun kemudian, setelah mendapat lesen, saya diberi tugas sebagai pemandu. Sepanjang tempoh itu pemilik sangat rapat dengan saya. Bermacam-macam tunjuk ajar dia berikan. Saya dilayan tak ubah seperti seorang adik.” Kata kawan saya itu, apabila dia memberitahu hasratnya untuk berhenti kerja, pemiliknya mengalu-alukannya.

Malah, dia membantu dengan memberikan sedikit wang sagu hati untuk dijadikan tambahan modal.

“Dia terus membimbing dan menunjuk ajar saya. Hubungan kami berterusan, dari hubungan pekerja dengan majikan sehinggalah kepada hubungan sebagai rakan perniagaan,” cerita rakan itu.

Begitulah, ada ketikanya mentor perlu dicari, dan ada waktunya ia datang sendiri. Namun tidak kira bagaimana situasinya, peranan mentor tidak berubah; tetap penting dan tetap perlu. – WILAYAHKU – DATUK DR BUDIMAN 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas