Berita

Kemasukan pelajar baharu IPTA kekal Julai, Ogos

SUASANA lautan putih pelajar baharu USIM bagi sesi pengambilan September tahun 2019. Gambar hiasan
- Diterbit 16 April 2020 4:06 PM MYT

PUTRAJAYA – Proses kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi 2020/2021 diteruskan seperti biasa.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan akhbar hari ini memaklumkan permohonan masih dibuka sehingga esok melalui sistem UPUOnline.

Katanya, penawaran dijangka dibuat pada 3 Jun depan untuk calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pada 18 Ogos bagi calon lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setarafnya.

“IPTA dijangka menerima kemasukan pelajar tahun baharu tahun ini ke program Asasi Diploma (termasuk Matrikulasi) pada Julai dan Ogos depan dan program Sarjana Muda pada Oktober depan,” katanya.

Semalam Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Md. Jidin dalam sidang akhbarnya memaklumkan mengenai penundaan tarikh peperiksaan SPM dan STPM tahun ini ke suku pertama tahun depan.

Lulusan peperiksaan ini nanti akan memasuki IPTA tahun hadapan bagi sesi 2021/2022 dijangka pada bulan Julai dan Ogos tahun depan bagi program Asasi Diploma termasuk Matrikulasi dan pada Oktober tahun yang sama bagi program Ijazah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas