Berita

Penghuni di balik tirai besi curah bakti siapkan PPE

PENGHUNI Pusat Koreksional Labuan menjahit PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan.
- Diterbit 16 April 2020 2:44 PM MYT

LABUAN – Tersembunyi di balik tirai besi, namun dapat menyumbangkan tenaga dan kudrat demi menyediakan pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk petugas baris hadapan di pulau ini.

Begitulah bakti yang dicurahkan oleh  seramai 25 penghuni Pusat Koreksional Labuan yang terlibat secara langsung dalam membuat pakaian PPE.

Pengarahnya, Abd Rauf Lang Pasih berkata, penyediaan pakaian itu merupakan kerjasama antara Jabatan Kesihatan dengan Jabatan Pusat Koreksional Labuan.

“Dalam tempoh tiga ke empat hari, kita telah menyiapkan 200 helai pakaian PPE dengan menggunakan tenaga kerja penghuni di sini bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Sepanjang proses pembuatan, seramai 25 penghuni terlibat dengan pelbagai tugas seperti memotong, menjahit dan mengukur,” katanya ketika ditemui Wilayahku hari ini.

DR ISMUNI (kiri) menerima bekalan PPE daripada Abdul Rauf di Pusat Koreksional Labuan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, pakaian PPE merupakan satu keperluan kepada petugas barisan hadapan dan seluruh Malaysia kekurangan bekalan pakaian ini.

“Sekiranya bekalan pakaian PPE ini tidak mencukupi, kita akan menghantar bekalan kain ke pusat ini dan meminta bantuan mereka (penghuni) untuk menjahit pakaian ini,” katanya.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Labuan menerima 200 helai pakaian PPE yang siap dijahit oleh penghuni Pusat Koreksional Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas