Berita

Fokus pelantikan selewatnya penghujung tahun ini KLFA mahu Khalid terajui persatuan

- Diterbit 14 Jun 2019 6:38 AM MYT

Fokus pelantikan selewatnya penghujung tahun ini
KLFA mahu Khalid terajui persatuan

Oleh: AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR: Majoriti ahli gabungan serta ahli-ahli majlis Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bersetuju sekiranya Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad mengemudi persatuan terbabit.

Menurut ahli majlis KLFA, Syed Yazid Syed Omar, jika menteri mengatakan kesudiannya menerajui persatuan, maka pelantikan tersebut akan dilakukan selewat-lewatnya dalam tahun ini juga.

“Khalid merupakan individu yang layak untuk menduduki kerusi nombor satu persatuan. Ia bakal memudahkan lagi urusan persatuan untuk mengatur program buat pasukan KLFA,” ujarnya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Syed Yazid memberitahu, pertemuan beberapa kali yang diadakan bersama Khalid sebelum ini memperlihatkan reaksi positif malah, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga kelihatan berminat dengan perkara tersebut.

Ujar beliau, meskipun tiada sebarang keputusan muktamad lagi namun Khalid dilihat memberi sokongan dan beliau juga sudah beberapa kali hadir ke stadium menyaksikan perlawanan serta latihan yang diadakan KLFA.

Ketika ditanya tentang persoalan yang timbul mengenai kewajaran seorang menteri untuk menggalas tanggungjawab mengemudi persatuan sukan yang mana berkemungkinan berdepan dengan pengaruh politik, Syed Yazid secara lantang menyangkal dakwaan tersebut.

“Bagi saya ia bukanlah hal yang perlu diperbesarkan, tiada masalah berbangkit tentang itu memandangkan ia adalah perkara biasa. Malah, beberapa kelab bola sepak di Malaysia juga turut diterajui oleh Menteri Besar,” katanya.

Terdahulu, kemelut yang melanda KLFA itu membabitkan perebutan pencalonan jawatan menyaksikan kongres persatuan itu digantung Pesuruhjaya Sukan sebelum ini, Datuk Zaiton Othman tahun lalu.

Sebagai rekod, KLFA selama ini diberi hak mengurus stadium yang digunakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bagaimanapun kontrak pengurusan tersebut bakal berakhir pada Jun 2021 akan datang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas