Artikel

Warga asing masih bebas berniaga di Kuala Lumpur?

DBKL membuat pemantauan berterusan terhadap peniaga tanpa lesen yang kebanyakannya adalah warga asing. Kredit foto: DBKL
- Diterbit 25 Januari 2023 7:03 AM MYT

DI sebalik usaha bersungguh-sungguh pihak berkuasa mengekang kebanjiran warga asing, terutama membanteras mereka yang masuk ke negara ini tanpa permit sah, terdapat ramai dalam kalangan mereka ini dikatakan berkeliaran di merata pelosok Kuala Lumpur.

Mereka dilapor membentuk koloni dan tinggal berlonggok dalam komuniti sendiri di kawasan tertentu menjadikan kawasan tersebut bagai ‘perkampungan’. Malah dikatakan juga mereka menjalankan aktiviti ekonomi sendiri untuk memenuhi keperluan kelompok mereka.

Isu ini ditimbulkan oleh warga kota dan diluahkan melalui media, untuk menzahirkan rasa tidak senang apabila beberapa kawasan tertentu dimonopoli oleh warga asing sehingga menenggelamkan warga tempat di sekeliling.

Ini juga sebagai maklum balas atau feedback kepada pihak berkuasa bahawa di sebalik tindakan penguatkuasaan yang dijalankan selama ini, masih ada ruang yang perlu diperbaiki dan diambil tindakan.

Adi difahamkan warga kota kesal kerana warga asing ini didapati aktif berniaga sehingga menjejaskan peniaga warga tempatan, sedangkan menurut peraturan undang-undang warga asing tidak dibenarkan berniaga. Jika menjadi pekerja kepada peniaga tempatan pun memerlukan permit.

Memang diakui selama ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa berusaha keras membanteras kegiatan warga asing berniaga. Pelbagai jenis tindakan diambil agar mereka tidak terlibat lagi dengan perniagaan.

Selama ini lokasi yang menjadi tumpuan utama DBKL membersihkan anasir ini ialah di Pasar Borong Kuala Lumpur. Berkat usaha dijalankan, kegiatan mereka yang kebanyakannya warga Bangladesh dan Myanmar dapat dikekang.

Namun itu pun memerlukan pemantauan berkala dan tindakan berterusan kerana kelompok ini degil dan tidak mudah putus asa. Setelah diambil tindakan, mereka akan diam sekejap. Apabila suasana sudah sejuk dan menganggap pihak berkuasa sudah lupa, mereka akan membuat kemunculan semula.

Apa pun, usaha DBKL memang wajar dipuji kerana usaha mengekang peniaga warga asing ini memang mencabar dan memerlukan komitment tinggi. Masakan tidak kerana perlu menghadapi puak yang tidak menghormati undang-undang tempatan dan kerap melakukan secara berulang.

Namun berdasarkan maklum balas warga kota, sementara DBKL memberi tumpuan di kawasan pasar borong, peniaga asing ini didapati aktif berniaga di beberapa kawasan lain di ibu kota.

Barangkali warga asing sedar tumpuan DBKL adalah kepada pasar borong. Kerana itu mereka merasakan selamat beroperasi di tempat lain yang tidak diberi tumpuan. Atau mungkin juga ada di antara peniaga di pasar borong itu yang mengubah lokasi operasi setelah menyedari kawalan ketat di lokasi tersebut.

Memetik luahan warga kota, warga asing berniaga secara terang-terangan di sana sini bagai tiada kawalan. Mereka bertanya apa sudah terjadi dengan Kuala Lumpur? Kenapa tiada tindakan terhadap kelompok ini?

Operasi penguatkuasaan yang bertumpu di Pasar Borong Selayang wajar dipuji dan memberi kesan baik. Bagaimana pun warga kota berpendapat, dalam proses ini DBKL tidak harus mengabaikan kawasan lain.

Contohnya warga asing didapati giat berniaga di Jalan Silang, Chinatown, Pudu dan Bukit Bintang. Kawasan ini bagai sudah bertukar menjadi koloni Bangladesh dan Myanmar. Warga Indonesia dan Pakistan pula memonopoli sekitar Chow Kit.

Bagi Adi, tentu isu ini membimbangkan warga kota sehingga meluahkannya di dalam media. Adi juga percaya mereka bukan bermaksud memperkecil peranan DBKL tetapi sebaliknya untuk menyalurkan maklumat kerana mungkin DBKL terlepas pandang.

Pada masa sama, harapan warga kota ialah isu yang didedahkan diambil tindakan segera dan segala masalah berhubung kait peniaga warga asing ini diatasi. Jangan sampai perkara ini merebak sehingga menjadikan sebarang bentuk tindakan lebih sukar.

Yang menyentuh hati Adi ialah dakwaan bahawa peniaga tempatan, terutama orang Melayu di ibu kota, berniaga di tepi-tepi jalan. Sebaliknya warga asing seperti Bangladesh dan Pakistan kelihatan lebih hebat dengan mampu membuka kedai sendiri.

Tidak berhenti setakat itu, peniaga ini juga dikatakan mampu menyewa lot-lot kedai dalam kompleks membeli-belah termasuk kompleks popular seperti Plaza Low Yat dan Pusat Borong Kenanga. Malah dikatakan ada di antara mereka memiliki cawangan pasar raya di beberapa lokasi.

Adi rasa wajar rungutan dan luahan warga kota ini diambil serius oleh DBKL dan berusaha turun padang melihat sendiri sejauh mana penguasaan warga asing ini. Benarkah nampak lebih hebat dan maju berbanding warga tempatan yang nampak ketinggalan?

Dikatakan lokasi di mana ramai peniaga asing ini juga menjadi tumpuan rakyat senegara masingmasing pada hari minggu atau pada cuti umum. Sepertinya sudah terbentuk mini Bangladesh, mini Pakistan, Myanmar, Indonesia dan sebagainya. Jika dibiar berterusan, lokasi boleh berubah wajah sehingga identiti Malaysia hilang.

Dalam hubungan ini, pada pandangan Adi, jabatan tertentu seperti Jabatan Imigresen dan polis wajar memberi kerjasama erat. Jabatan berkenaan perlu menyiasat bagaimana warga asing boleh memiliki perniagaan sedangkan mereka pada permulaan masuk sebagai buruh atau perkerja sektor tertentu.

Kita tentu tidak mahu isu ini dibiarkan menjadi barah. Adi percaya ramai tidak mahu warga asing menguasai ekonomi negara sehinggakan warga tempatan pula meminta kerja daripada mereka. Ini tidak boleh dibenarkan.

Keadaan ini juga boleh memberi tanggapan pertama atau first impression yang salah kepada pelancong luar terutama yang pertama kali datang ke negara ini, seolah-olah sektor perniagaan banyak didominasi warga asing. Tentu ini memberi gambaran tidak baik kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Namun Adi ingin menyentuh juga mengenai sikap peniaga tempatan yang secara tidak langsung menyokong pertumbuhan peniaga warga asing ini. Ada yang mengambil jalan pintas mendapat untung dengan menyewakan lesen kepada peniaga asing.

Mudah bukan, tidak perlu bersusah payah di gerai atau kedai, kutip sahaja setiap bulan. Walhal peniaga asing yang beroperasi dari kedai mereka mampu mengaut keuntungan lebih banyak. Sikap merugikan ini wajar dibendung.

Mereka ini juga pandai mencium kehadiran penguat kuasa. Jika penguat kuasa datang, mereka akan segera berada di kedai seolah-olah mereka yang berniaga. Apabila penguat kuasa berlalu, peniaga asing datang kembali.

Kerana itu Adi sangat setuju seandainya dalam usaha memerangi peniaga asing ini, DBKL juga menggiatkan usaha mengenal pasti peniaga tempatan yang menyewakan lesen. Mereka secara tidak langsung menggalakkan pertumbuhan peniaga asing di ibu kota.

Anggaplah peniaga tempatan yang menyewakan lesen sebagai tidak minat berniaga. Mereka minta lesen semata-mata dengan niat untuk menyewakannya. Oleh itu cara terbaik bertindak kepada mereka ialah menarik balik lesen. Beri lesen tersebut kepada yang bersungguh-sungguh mahu berniaga. Adi—Sokong peniaga jujur – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas