Kekasih Jadi Inspirasi, ZARA ZYA Tidak Serik Buka Restoran

Kekasih Jadi Inspirasi, ZARA ZYA Tidak Serik Buka Restoran

KATA orang. Cinta itu memungkinkan segalanya. Walaupun pernah jatuh atau gagal, cinta membolehkan seseorang itu terus bangkit dan bersemangat.

Itulah gambaran kehidupan yang sedang dilalui oleh pelakon Zara Zya,35, yang sedang bahagia dilamun cinta. 

Walaupun pernah gagal dalam bisnes restoran, Zara tidak pernah serik untuk meneruskan bisnes tersebut. Apatah lagi, usahanya itu disokong penuh oleh kekasih selain keluarga sebagai ‘tulang belakang’.

“Saya pernah uruskan kios makanan di sebuah pusat beli belah popular tapi terpaksa tutup kerana dengan kerugian lebih RM80,000.

“Saya tak serik dan selepas itu buka pula di pusat beli belah popular lain tapi tetap tak jalan. 

“Kedua-dua kedai itu tak menggunakan nama sendiri dan sekarang barulah saya bertekad guna nama sendiri,” katanya kepada Wilayahku.

RESTORAN ZaraZyaCooks terletak di Setia Alam, Selangor

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin kini membuka restoran masakan panas ZaraZyaCooks di Setia Alam, Selangor. 

Bagi Zara, bukan mudah untuk dirinya menceburi bidang bisnes, namun keluarga dan kekasih selalu ada untuknya.

“Selain keluarga, si dia antara pendorong utama dan sentiasa memberi galakan  kepada saya untuk meneruskan bisnes ini. 

“Dia memang banyak membantu dan berkongsi idea berbekalkan pengalaman dimilikinya yang turut aktif dalam badan amal. 

“Iyalah.. saya ni asalnya tiada asas ilmu bisnes. Jadi si dia sentiasa ada untuk saya, Alhamdulillah. 

“Apa yang boleh dikatakan sekarang, dia seorang yang amat memahami saya dan sering memberikan sokongan terhadap apa juga yang saya lakukan.

“Setakat ini sahaja yang boleh saya kongsi kerana biarlah saya rahsiakan terlebih dahulu cerita berkenaan kahwin dan perancangan lain kerana saya nak fokus pada perniagaan restoran ZaraZyaCooks terlebih dahulu,” jelas Zara Zya yang pertama kali membuat pengakuan terbuka di instagram sudah mempunyai kekasih pada April lalu.

ANTARA menu di ZaraZyaCooks yang menjadi pilihan ramai.

Menyentuh tentang restoran ZaraZyaCooks miliknya, Zara berharap kegagalan dua kali sebelum ini banyak mengajarnya dalam selok-belok bisnes. 

“Banyak yang saya belajar daripada pengalaman lalu. Selain shooting, saya akan menghabiskan masa di restoran. 

“Restoran saya menyediakan pelbagai hidangan istimewa termasuk sup belut dan nasi goreng kambing bakar yang beroperasi setiap hari bemula jam 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam.

“Saya juga turut menyediakan ruang acara, ZaraZya Sky Lounge (ZSL) di tingkat atas yang dibuka dari jam 6 petang hingga 1 pagi setiap hari,” ujarnya lagi yang berharap restorannya terus menjadi pilihan ramai.

Antara menu lain yang turut digemari ramai adalah Nasi Goreng Zara Zya, Set Sup Zara Zya, Kambing Bakar Zara, Siakap Stim Halia, Ayam Bakar Madu 4 dan banyak lagi. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS