Selebriti

Lagu Anak Tupai Dipergunakan, “Saya Kecewa” – HALIM YAZID (Dikir Barat)

Azlan Aziz dan Pengarang Wilayahku
- Diterbit 13 Ogos 2020 10:54 AM MYT

PENYANYI Dikir Barat Popular, Halim Yazid ,59, mengaku berasa sedih dan kesal apabila lagu popularnya Anak Tupai dipergunakan secara meluas, sedangkan orang lain yang mendapat keuntungan. 

Penyanyi yang juga pencipta lagu Anak Tupai ini tidak menyalahkan mana-mana pihak namun dia terkilan kerana tidak dapat mendaftar lagu tersebut dengan MACP (Music Authors Copyright Protection).

“Beberapa tahun dulu saya pernah berurusan dengan pihak MACP sebanyak dua kali untuk mendaftar lagu Anak Tupai. 

“Namun usaha itu gagal kerana saya berasakan proses untuk pendaftaran lagu ketika itu agak sukar kerana saya bukanlah aktif dalam muzik mainstream. Jadi banyak perkara yang tidak dapat saya lakukan ketika itu.

“Sejujurnya saya kecewa dan letih dengan situasi tersebut. Lama-kelamaan saya biarkan macam tu saja, sehinggalah ke hari ini lagu itu tidak didaftarkan,” luahnya ketika berkunjung ke pejabat Wilayahku.

HALIM Yazid antara pejuang lagu-lagu dikir barat yang disegani. Foto: Amin Farij Hassan

Halim bagaimanapun berasa terkilan kerana lagu Anak Tupai digunakan oleh banyak pihak yang memuat naik lagu tersebut di laman youtube. 

“Siapa yang tidak sedih apabila lagu sendiri digunakan oleh orang lain untuk mendapatkan keuntungan. Namun, apa boleh buat, lagu ini belum didaftarkan jadi orang lain bebas mendapat keuntungan daripadanya.

HALIM bersama Pengurus Besar YWP Media, Azlan Abdul Aziz (Kiri) dan Pengarang Kanan Akhbar Wilayahku, Helme Hanafi.

“Yang lepas biarlah lepas. Tidak mengapa. Apa-apa pun saya tetap akan mendaftarkan lagu tersebut. Insya Allah sekarang dalam proses,” katanya yang tidak serik dan akan terus memperjuangkan irama dikir barat. 

Menyentuh tentang kolaborasinya bersama artis lain, Halim mengaku belum bersedia untuk melakukan hal tersebut.

“Saya tahu, berkolaborasi dengan penyanyi berlainan genre muzik adalah trend sekarang. Saya pun tidak menafikan banyak kebaikannya.

“Cuma buat masa ini saya belum bersedia ke arah itu. Bukanlah sombong atau tidak sudi, tetapi bukanlah sekarang,” katanya yang sudah muncul dengan album seperti Angin, Inovasi, Infiniti, Sarana, Personaliti dan Destini.

Istimewa buat semua peminat Halim Yazid dan penggemar lagu dikir barat, anda boleh mendapatkan koleksi 73 buah lagu daripada tujuh albumnya dalam satu pendrive. Senang, di mana-mana pun lagu-lagu Halim boleh menemani anda.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi di talian 019-9865151 untuk mendapatkan pendrive tersebut. 

Jangan lupa ikuti kisah Halim Yazid dalam akhbar Wilayahku pada keluaran yang akan datang. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas