Berita

Brass band bakal ceriakan ibu negara

ANTARA aksi persembahan brass band DBKL di hadapan kompleks beli belah Sogo baru-baru ini.
ANTARA aksi persembahan brass band DBKL di hadapan kompleks beli belah Sogo baru-baru ini.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:16 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan persembahan brass band daripada unit beruniform Jabatan Penguatkuasaannya pada setiap Sabtu bermula Ogos ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, persembahan tersebut akan dilaksanakan secara berterusan pada setiap Sabtu selepas pihaknya me­lakukan penambahbaikkan berdasarkan tempoh per­cubaan yang bermula 27 Julai lalu, di hadapan kompleks beli belah Sogo.

Ujar beliau, penganjuran tersebut akan diadakan di kawasan-kawasan tumpuan se­perti Pasar Seni, KL Sentral, Medan Tunku, Medan Pasar dan Taman Botani serta bebe­rapa kawasan utama yang lain.

“Selepas ini, percubaan akan dilakukan di hadapan gedung beli belah, Muaz Tekstil pula.

“Percubaan ini adalah bertujuan melihat status pergerakan lalu lintas serta faktor-faktor lain termasuk maklum balas positif atau negatif daripada orang awam,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, semasa percubaan pertama yang dilakukan hampir dua jam baru-baru ini, pihaknya mendapati persembahan tersebut mendapat sambutan ramai khususnya warga kota.

Ujarnya, penganjuran tersebut adalah salah satu program yang direncanakan DBKL bagi menceriakan lagi ibu negara dan akan diadakan sekali dalam seminggu.

“Saya akan tambah baik lagi pada masa depan termasuk penyertaan brass band daripada polis dan tentera,” katanya yang turut menjanjikan penganjuran brass band berkenaan tidak mengganggu persembahan buskers.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas