Berita

Kehidupan marin diancam pencemaran

LABUAN - BUNGKUSAN sampah yang dikutip ditimbang sebelum dikumpulkan.
LABUAN - BUNGKUSAN sampah yang dikutip ditimbang sebelum dikumpulkan.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:12 AM MYT

Oleh NORHATIJAH ABDUL RAJAK
[email protected]

Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara mega biodiversiti di dunia kerana kepelbagaian flora dan fauna. Negara ini juga merupakan negara yang terletak di dalam kawasan Segi Tiga Terumbu Karang dan menjadikan Malaysia kaya dengan biodiversiti marin. Hal ini kerana lebih 83 peratus spesies terumbu karang dunia telah direkodkan di Malaysia.

Bagaimanapun, ancaman daripada aktiviti perikanan serta pencemaran dari darat dan laut boleh menjejaskan terumbu karang sekiranya tidak dikawal.

Bagi mengatasi masalah pencemaran, satu program pembersihan pantai telah dianjurkan Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan bersama Labuan Dive Club baru-baru ini yang berjaya menarik seramai 130 peserta. Kesemua mereka terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan, agensi swasta dan sukarelawan.

Program ini turut dijayakan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan yang membantu menyalurkan keperluan logistik, Perbadanan Labuan serta Angkatan Pertahanan Awam.

Program pembersihan itu melibatkan pantai di dua buah pulau iaitu Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Besar. Program itu berjaya memberi pendedahan kepada sukarelawan tentang pentingnya peranan serta tanggungjawab dalam aspek kelestarian alam terutama berkaitan pengurusan ekosistem dan biodiversiti pesisir pantai.

Dalam masa sama program itu dapat mempromosikan Pulau Taman Laut Labuan sebagai tarikan penyelam bagi menjana ekonomi pelanco­ngan Labuan.

Pada program tersebut, jumlah berat sampah yang telah dikutip dan direkodkan ialah sebanyak 532 kilogram.

Sampah serta bahan bua­ngan yang boleh dikitar se­mula terdiri daripada plastik, kaca, aluminium dan lain-lain. Selain aktiviti pembersihan sampah di pesisir pantai, peserta juga mengikuti sesi taklimat panduan snorkeling daripada pegawai Jabatan Perikanan, Saeck Nasser berhubung pematuhan serta etika semasa menjalankan akti­viti rekreasi di perairan Taman Laut agar tidak menjejaskan terumbu karang dan mengganggu hidupan marin yang lain.

Dalam hal ini, ketua program berkenaan, Tan Zhi Shan berkata, program tersebut merupakan sebahagian dari­pada usaha untuk memastikan ekosistem di sekitar Pulau Taman Laut Labuan seimbang serta dapat menarik pelbagai hidupan akuatik ke perairan ini.

Terdahulu Pengarah Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili dalam ucapan perasmian program itu ber­kata, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan marin bukan sahaja terletak di bahu Jabatan Perikanan Malaysia malah semua pihak perlu berganding bahu melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada kelestarian alam sekitar.

“Saya berharap agar usaha pemuliharaan ekosistem marin Taman Laut perlu diperkasakan dan dilaksanakan secara berterusan agar kha­zanah marin ini berkekalan dan terus memberi manfaat kepada alam sekitar.

“Hal ini menjadi tanggungjawab seluruh lapisan ma­syarakat untuk menyokong objektif dan fungsi penubuhan Taman Laut agar kha­zanah negara dapat dinikmati gene­rasi akan datang,” kata­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas