Berita

E-TIM permudah bayaran yuran murid tadika

NIK KHUSAIRIE menunjukkan cara menggunakan sistem E-TIM bagi pembayaran yuran kepada salah seorang bapa murid.
NIK KHUSAIRIE menunjukkan cara menggunakan sistem E-TIM bagi pembayaran yuran kepada salah seorang bapa murid.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:13 AM MYT

PUTRAJAYA – Sejajar de­ngan perkembangan teknologi, Perbadanan Putrajaya (PPj) mewujudkan platform pembayaran yuran secara atas talian bagi murid Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bermula 1 Jun lalu.

Ketua Seksyen Projek Khas, Bahagian Pembangunan Ta­nah dan Kelulusan Pelan Jaba­tan Perancangan Bandar PPj, Nik Khusairie Jaafar berkata, platform yang dikenali sebagai sistem Elektronik Tadika Islam MAIWP (E-TIM) itu bertujuan memantau prestasi pembayaran yuran secara tepat dan menyeluruh.

Selain itu, katanya, ia da­pat membantu menyelesaikan masalah kelewatan serta tunggakan pembayaran yang di­sebabkan kekangan masa ibu bapa murid.

“Sebelum ini, pembayaran dilakukan secara atas talian kepada PPj, kaunter khidmat pelanggan atau kaunter van bergerak.

“Kita melihat ibu bapa menghadapi masalah se­hingga menyebabkan mereka disaman pihak berkuasa ketika hendak membayar saman berikutan sukar mendapatkan parkir selain faktor kekangan masa,” katanya kepada Wilayahku di sini baru-baru ini.

Menurut Nik Khusairie, ekoran masalah tersebut, pihaknya berhadapan dengan tunggakan yuran yang tinggi di samping terdedah kepada masalah pengurusan data serta kesilapan mengemas kini maklumat.

Jelas beliau, sejak dilaksanakan, masalah tunggakan dapat diatasi dan pemantauan bayaran dapat dilakukan secara tepat malah prestasi bayaran meningkat sehingga 97 peratus berban­ding sebelumnya, 80 peratus.

Ujarnya, ibu bapa juga akan dimaklumkan dalam masa terdekat sekiranya bayaran belum dilakukan dan pemberitahuan itu akan dimaklumkan secara email.

Tambah Nik Khusairie, pihaknya berhasrat mewujudkan pendaftaran murid secara atas talian bermula tahun hadapan di samping pelaksanaan kod QR dalam pembayaran yuran dan tambahan perincian sumbangan atau waqaf di sistem.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas