Selebriti

Kecewa, kritikan buat Meerqeen lebih kuat

|MEERQEEN bersedia menerima kritikan untuk menjadi lebih baik.
- Diterbit 24 Oktober 2021 3:42 AM MYT

HIDUP ini tidak selalunya indah. Gembira, kecewa, jatuh dan bangkit semula sudah menjadi resam dalam kehidupan.

Itulah prinsip yang diamalkan oleh pelakon remaja Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam,20.

Sentiasa menganggap kritikan sebagai penguat semangat, Meerqeen berani mencabar dirinya menjadi penyanyi pula apabila muncul dengan lagu Menunggu ciptaan komposer muda, Aliff Iskandar, 21.

“Kalau ada orang nak kecam, saya tidak kisah kerana kritikan akan membuatkan saya mahu terus memperbaiki diri dan melakukan yang terbaik.

“Dalam hidup ini, kita perlu sentiasa berfikiran positif. Tukarkan kritikan itu kepada semangat untuk terus majukan diri,” katanya pada majlis pra dengar lagu Menunggu secara maya baru-baru ini.

MEERQEEN bersedia menerima kritikan untuk menjadi lebih baik.

Bagi Meerqeen, seseorang pasti akan berjaya jika ada usaha dan semangat yang tinggi.

“Saya percaya sesiapa pun mampu melakukan apa sahaja asalkan ada kemahuan dan keyakinan.

“Bidang nyanyian benda baharu dan memang membuatkan saya risau pada peringkat awal. Tapi apabila semua proses sudah dilalui, ia memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada saya.

“Sudah tentu sokongan orang sekeliling membuatkan saya bersemangat merakamkan lagu Menunggu,” katanya yang popular dengan drama Angkara Cinta dan Senorita.

Apabila ditanya adakah lagu Menunggu adalah kisah cintanya, ini jawab Merqeen.

“Menunggu bukanlah pengalaman diri saya sendiri. Ia hanya gambaran am mengenai perasaan seorang lelaki. Saya pasti kebanyakan lelaki pernah merasakan peritnya putus cinta itu.

“Saya pernah tiga kali bercinta. Dua daripadanya hanyalah cinta monyet, manakala hubungan ketiga mampu bertahan untuk tempoh dua tahun ketika berusia 18 tahun.

“Saya jenis lelaki setia dan saya suka merancang soal masa depan serta hala tuju hubungan apabila bercinta.

“Bagaimanapun, apabila si dia memutuskan hubungan secara tiba-tiba selepas melanjutkan pelajaran, saya sangat kecewa. Dua tahun saya ambil masa untuk sembuh,” katanya yang bangkit dari kekecewaan dan terus berazam untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

Penghasilan lagu Menunggu merupakan kerjasama antara Indigital Music dan Civicas Network Sdn Bhd. Lagu ini sudah boleh distrim melalui semua platform digital dan lirik video pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas