Berita

Kecederaan bukan halangan Ee Yi

AKSI Ee Yi ketika beraksi pada Piala Sudirman di Nanning China, Mei lalu.
AKSI Ee Yi ketika beraksi pada Piala Sudirman di Nanning China, Mei lalu.
- Diterbit 4 Julai 2019 7:13 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PEMAIN beregu negara, Teo Ee Yi mengakui dugaan yang paling besar sepanjang berada dalam sukan badminton adalah kesukaran menepis tekanan untuk beraksi dengan baik pada kejohanan yang disertai.

Menurutnya dia sentiasa berusaha mengawal emosi demi memburu pingat untuk negara dan penyokong setia badminton. Malah, jika mengalami kecederaan ketika sedang beraksi sekalipun, dia terpaksa menyembunyikan kesakitan itu.

Terbaru, ketika beraksi pada Piala Sudirman yang berlangsung di Nanning, China Mei lalu, dia dibanjiri pujian kerana kesungguhannya berjuang hingga mata akhir biarpun dagunya terkoyak besar dan mengalami pendarahan yang agak banyak.

Sungguhpun gagal membantu Malaysia untuk mara ke separuh akhir, namun aksi cemerlangnya bersama pasangan beregunya, Ong Yew Sin tetap dipandang tinggi oleh para penyokong badminton negara.

“Ketika itu apa yang ada dalam fikiran saya adalah ingin menghabiskan perlawanan hingga ke akhirnya. Saya cuba sedaya upaya untuk terus fokus biarpun saat itu agak perit menahan kesakitan.

“Sorakan padu di sekeliling membuatkan saya terlupa dengan keadaan diri seketika. Sedar-sedar semuanya sudah berakhir dan saya dibawa ke hospital untuk rawatan susulan. Bagi saya, sorakan peminat adalah ubat paling mujarab,” ujar pemain elit negara ini lagi.

Menyimpan hasrat untuk mencipta nama dan kejayaan di Sukan Olimpik, atlet berusia 26 tahun ini komited dalam setiap latihan dan berusaha mencipta sebaik mungkin kejayaan demi kejayaan di dalam dan luar negara.

“Sudah pasti semua orang bercita-cita untuk menempa kegemilangan di temasya sukan Olimpik begitu juga dengan saya. Untuk kearah itu, saya sentiasa bekerja keras dan tidak pernah menoleh kebelakang.

“Jadual latihan yang padat juga merupakan salah satu usaha. Setiap hari saya akan berada di gelanggang badminton selama lima jam iaitu tiga jam di sebelah pagi dan selebihnya pada sebelah petang,” ujar atlet kelahiran Muar, Johor ini lagi.

Tambah pemain ranking ke-19 dunia ini lagi, dia kini sedang memberi tumpuan untuk beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia, Jepun dan Thailand yang akan berlangsung selewat-lewatnya dalam tahun ini juga.

“Jika berhajat menjadi juara dalam permainan, kita memerlukan strategi terbaik untuk menentang lawan. Jadi, jika ada masa terluang saya banyak menonton perlawanan bagi mendapatkan ilham strategi,” ujarnya yang menjadikan bekas pemain nombor satu dunia, Tan Boon Heong sebagai idola dalam sukan badminton.

Setia dengan badminton

Lebih 18 tahun berada dalam arena sukan tersebut, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini tidak pernah terfikir untuk bersara awal dalam sukan yang dicintainya ini. Jika berkesempatan, dia ingin terus menyumbang jasa kepada negara.

“Kalau tiada berdepan dengan sebarang kecederaan, saya akan terus bermain. Badminton adalah dunia saya sejak dari umur lapan tahun lagi. Mungkin apabila sudah tidak bergelar atlet lagi nanti, saya ingin menjadi jurulatih yang dapat membimbing atlet muda yang lain,” ujarnya.

Berkongsi kenangan manis sepanjang dalam sukan badminton, Ee Yi menyifatkan kemunculannya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah momen terindah apabila pasukan beregu lelaki negara muncul sebagai naib juara.

“Ia adalah pengalaman yang baik dan tidak dapat dilupakan. Bertitik tolak daripada itu juga seolah memberi titik tolak untuk pasukan saya mara ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” ujarnya yang sentiasa mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga tercinta.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas