Berita

Ulat tiket berleluasa di Hentian Duta

SEBAHAGIAN ‘ulat tiket’ yang menawarkan tiket kepada orang ramai yang melalui laluan pejalan kaki stesen bas Hentian Duta.
SEBAHAGIAN ‘ulat tiket’ yang menawarkan tiket kepada orang ramai yang melalui laluan pejalan kaki stesen bas Hentian Duta.
- Diterbit 4 Julai 2019 7:20 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Kelibat beberapa ‘ulat tiket’ di stesen bas Hentian Duta di sini mengganggu orang awam yang ingin mendapatkan perkhidmatan bas ekspres untuk ke destinasi yang ingin dituju.

Mereka bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan kepada pengunjung malah mengakibatkan pengguna perkhidmatan awam itu terpaksa menunggu hampir tiga jam untuk menaiki bas.

Tinjauan di lokasi terbabit baru-baru ini mendapati, salah seorang daripada sekumpulan lima lelaki bersama dua wanita yang berdiri berhampiran laluan pejalan kaki ke kaunter stesen berkenaan akan menghampiri orang awam dan bertanyakan tentang destinasi yang ingin dituju.

Mereka kemudiannya mengekori orang awam terbabit sehingga ke kaunter tiket walaupun telah diberitahu hanya mahu menebus tiket yang dibeli secara atas talian.

Menurut seorang pengunjung, beg­nya dia pernah ditarik oleh salah se­orang penjual tiket berkenaan kerana enggan mendapatkan khidmat mereka.

Seorang lagi pengunjung yang juga warga emas memberitahu, dia terpaksa menunggu hampir tiga jam sebelum dibenarkan menaiki bas.

“Saya pernah mendapatkan khidmat mereka kerana merasakan lebih mudah sekiranya ada orang bantu membeli tiket di kaunter untuk perjalanan ke Sungai Petani, Kedah.

“Perjalanan sepatutnya pada pukul 9 malam, tetapi saya terpaksa menunggu hampir tiga jam dan menaiki bas yang datang kira-kira pukul 11.40 malam,” katanya yang kesal kerana ditipu penjual tiket.

Menurutnya lagi, penjaga kaunter juga enggan bertanggungjawab apabila diberitahu kejadian sebenar.

Malah baru-baru ini, katanya, penjaga kaunter meminta dia mendapatkan khidmat ulat tiket berkenaan untuk membeli tiket dengan alasan individu terbabit lebih mengetahui perjalanan bas.

Tambahnya, bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku, dia telah meminta anak-anaknya membeli tiket secara atas talian yang lebih mudah dan tepat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas