Berita

Kebolehpasaran siswazah pertanian

- Diterbit 26 September 2019 8:21 AM MYT

SEBELUM ini banyak pihak memandang skeptikal terhadap bidang pertanian. Sedangkan sektor tersebut kini sedang berkembang maju ter­utama melibatkan industri asas tani seperti agromakanan.

Begitu juga graduan yang lahir daripada institusi pendidikan pertanian kini mempunyai ruang lebih luas dalam pasaran.

Ikuti temubual Wilayahku bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Dr. Zunika Mohamed sempena Majlis Konvoksyen Pertanian ke-9 pada 30 September ini.

WILAYAHKU: Boleh ceritakan mengenai signifikan Majlis Konvokesyen Pertanian ke-9 yang akan diadakan pada 30 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Sela­ngor?

ZUNIKA: Mengikut rekod, Kemen­terian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sebenarnya telah me­lahirkan graduan pertanian seawal tahun 1969 lagi di mana Jabatan Pertanian pada masa itu telah mula melatih belia dalam bidang pertanian menerusi Sekolah Pertanian Serdang. Pada tahun 2004 pula, Institut Veterinar Malaysia mula melahirkan graduan dalam bidang penternakan.

Pada 1 Oktober 2002, Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) telah ditubuhkan secara rasminya setelah cadangan mewujudkan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 24 Julai 2002. NATC yang kini dikenali sebagai Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) berfungsi sebagai badan yang merancang, menyelaras dan menilai latihan kemahiran bidang pertanian.

PLKPK mula dilaksanakan pada tahun 2003 di Kolej Pertanian Malaysia dengan pengambilan pertama pelatih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Pada tahun 2006, NATC telah mengadakan majlis konvokesyen bagi gra­duan bidang ke­mahiran pertanian buat kali pertama.

Pada tahun 2011, MOA telah mengadakan Majlis Konvokesyen Pertanian buat kali pertama dengan meng­gabungkan kesemua sijil institusi latihan pertanian jabatan dan agensi di bawah MOA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur melibatkan seramai 674 graduan.

Pada 30 September ini, MOA akan mengadakan Majlis Konvokesyen Pertanian ke-9 melibatkan 1,082 graduan Pusat Bertauliah di bawah MOA iaitu Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia (SKM/DKM), Sijil Pertanian (Jabatan Pertanian), Sijil Veterinar Malaysia (Jabatan Perkhidmatan Ve­terinar) dan Sijil Perikanan (Jabatan Perikanan Malaysia).

Majlis akan dijadual disempurna­kan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Bersempena majlis konvokesyen itu turut diadakan Karnival Kerjaya MOA. Boleh ceritakan mengenai karnival tersebut?

ZUNIKA: Karnival Kerjaya MOA kali ini dianjurkan bersama JobsMalaysia yang akan diadakan pada 28 hingga 29 September di Dewan C, MAEPS. Ia melibatkan penyertaan 60 syarikat dengan lebih 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan meliputi pelbagai bidang, tidak terhad kepada bidang pertanian sahaja.

Ini merupakan satu inisiatif dalam menyediakan maklumat dan me­wujudkan peluang pekerjaan bagi graduan dan bakal graduan selain menyediakan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Karnival ini boleh menjadi platform kepada majikan untuk memaklumkan kepada graduan berkenaan jangkaan dan keperluan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja di syarikat tersebut. Ia juga bagi mendapatkan maklumbalas berkenaan kadar kebolehpasaran gra­duan PLKPK.

Berapa ramaikah tenaga kerja terlatih dalam bidang pertanian yang telah dikeluarkan MOA?

ZUNIKA: Semenjak tahun 2006, seramai 11,124 tenaga kerja terlatih telah dihasilkan oleh Kementerian. Ini bagi memenuhi komitmen ke­rajaan untuk melahirkan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran serta bersedia memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Kajian kebolehpasaran graduan program Technical Vocational Education Training (TVET) menunjukkan seramai 65 peratus graduan pusat latihan di bawah MOA berjaya mendapat pekerjaan sama ada di­ambil bekerja atau membuka bidang usaha sendiri dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Bagaimana kursus-kursus yang ditawarkan MOA dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam sektor pertanian negara?

ZUNIKA: Sehingga kini, terdapat 14 pusat bertauliah di seluruh ne­gara menjalankan PLKPK. Se­banyak empat program latihan jangka panjang diperkenalkan iaitu Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia, Sijil Pertanian, Sijil Perkhidmatan Veterinar dan Sijil Perikanan.

Bagi Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia, terdapat sembilan bidang kemahiran ditawarkan iaitu tanaman, pengeluaran padi, ternakan ruminan, ternakan poltri, akuakultur marin, akuakultur air tawar, teknologi perikanan tangkapan, pemprosesan makanan dan pemasaran.

Tenaga pengajar yang melatih di Pusat Bertauliah (PB) diwajibkan berdaftar dengan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Apakah cabaran untuk menarik minat golongan muda menjadi tenaga kerja dalam bidang per­tanian?

ZUNIKA: Antara cabaran utamanya ialah persepsi masyarakat yang sering disogokkan bahawa kehidupan harian sebagai petani, pesawah, penternak hanya diceburi oleh orang miskin di kampung dan tidak memberi pulangan pendapatan lumayan.

Kebanyakan golongan belia terutamanya siswazah masih rela menunggu kerja atau mencari kerja dalam sektor awam dan swasta berbanding menceburi sektor pertanian.

Kedua, kekurangan pembabitan generasi muda juga disebabkan ketiadaan akses kepada sumber utama pertanian iaitu tanah.

Tanah suai tani yang terhad untuk pengeluaran makanan, tanah terbiar yang tidak diusahakan kerana ke­sukaran mengenal pasti pemilik tanah, pemilikan tanah yang berselerak dan tidak bersaiz ekonomi menjadi punca mengapa golongan muda meminggirkan sektor ini.

Bagi mengatasi perkara itu, kementerian telah mewujudkan Program Agropreneur Muda dalam Rancangan Malaysia ke-11 untuk golongan muda berumur antara 18 hingga 40 tahun. Ia bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan.

Kerajaan juga menyediakan tiga jenis bantuan bagi program tersebut iaitu Geran Agropreneur Muda (GAM) sebanyak RM20,000 dalam bentuk barangan tanpa perlu dibayar balik.

GAM adalah bantuan dari­pada kerajaan kepada agropreneur muda bagi membantu mereka meminimum­kan impak kewangan dalam menjalankan perniagaan.

Selain itu disediakan juga pakej pembiayaan dengan kadar keuntu­ngan sebanyak dua peratus setahun bagi pembesaran projek pertanian selain pinjaman Agrobank antara RM50,000 hingga RM 200,000 bagi setiap projek dan TEKUN Nasional sehingga RM50,000.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas