Berita

Ke mana mengalirnya wang orang kaya Islam?

|
- Diterbit 13 Februari 2020 6:03 AM MYT
”Zakat sebagai satu institusi pembangunan ekonomi ummah di samping sistem wakaf, hibah dan sebagainya, haruslah dimantap dan diyakini serta dikembangkan dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat Islam dan pemerintah.

DALAM usaha membangunkan umat Islam pada zaman kini terutamanya dalam bidang ekonomi dan perniagaan serta kekayaan harta benda dalam kehidupan, para penceramah agama dan professional dalam semua bidang ilmu, haruslah memberikan motivasi dan ilmu yang tinggi untuk tujuan tersebut.

Malah profesional dalam bidang pendidikan formal dan tidak formal juga haruslah melakukan aktiviti dan gerakan yang sama. Ketika manusia zaman dahulu berada dalam arus kegelapan tentang pembangunan harta benda sebagai asas kemajuan umat manusia, maka ibadat zakat yang merupakan satu sistem ekonomi yang mapan telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk pembangunan harta dan kekayaan ummah sebagai satu mekanisme pembangunan yang berkesan

Zakat sebagai satu institusi pembangunan ekonomi ummah di samping sistem wakaf, hibah dan sebagainya, haruslah dimantap dan diyakini serta dikembangkan dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat Islam dan pemerintah.

Sistem zakat umpamanya hendaklah dikaji dan dipertingkatkan menurut teori ekonomi moden agar institusi ini menjadi sebahagian daripada sistem kewangan dan pengurusan harta atau khazanah negara yang utama.

Mekanisme sistem zakat negara kita yang telah dilancarkan oleh beberapa buah negeri sejak merdeka dengan sendirinya membuktikan bahawa urusan zakat adalah merupakan urusan pemerintah.

Sebelum ini, orang Islam mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya secara peribadi. Pesawah mengeluarkan zakat padinya kepada sesiapa yang dirasanya berhak menerima zakat mengikut pelajaran yang di pelajarinya. Demikian juga apabila tiba bulan puasa dan menjelangnya hari raya, maka ia akan membawa segantang beras untuk diberikan kepada guru agama atau sesiapa yang perlu sebagai zakat fitrahnya.

Oleh itu ijtihad ulamak yang membenarkan penubuhan pusat zakat merupakan satu kemajuan baharu yang diwujudkan untuk menginstitusikan sistem zakat dan mentadbirkannya secara profesional.

Para ulama dan pengkaji bidang keislaman dalam melaksanakan ijtihad ini tentulah telah mengkaji tafsiran ayat-ayat al-Quran tentang hal ini, umpamanya ayat 103 dalam surah al-Taubah;

”Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka, dan mendoakan untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Maka untuk menjamin keadilan sosial di antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai golongan dan kadar pendapatan mereka, pemerintah haruslah menjalankan tugasnya dalam bidang ini termasuk dalam urusan zakat yang telah diwajibkan oleh Allah.

Negara-negara Islam dunia pada keseluruhannya adalah lemah dan miskin. Tetapi negara Islam yang kaya pula, sungguh pun bilangannya adalah kecil, sekiranya kekayaan itu diuruskan dengan bijaksana, maka negara Islam akan dapat tegak sebagai kuasa ekonomi dunia yang kuat.

Zakat dapat menggembelingkan kekayaan umat Islam menjadi kuasa ekonomi yang gagah sekiranya urusan institusi ini dijalankan secara sepadu oleh semua kalangan umat Islam.

Malah saya percaya sekiranya kita mempunyai tabung zakat yang kukuh di peringkat negara-negara Islam seluruh dunia, ia tentunya akan dapat membantu rakyat dan kerajaan Islam di seluruh dunia. Negara Islam tidak mungkin dapat dimiskinkan dengan amat aib begitu rupa hingga menjatuhkan maruah umat Islam keseluruhannya.

Namun amat memalukan, jika diperiksa segala akaun di luar negara bagi orang-orang kaya Islam yang lebih berminat menyimpan dan melabur di luar negara.

Jumlah wang jutawan Islam itu tentulah amat besar, yang sekiranya wang itu dizakatkan, bukan hanya negara Islam yang miskin akan mendapat manfaat malah banyak lagi negara Islam lain akan menikmati faedah.

Komitmen orang Islam terhadap ibadat sembahyang dan puasa serta haji dan umrah nampaknya telah meningkat dengan baik tetapi kesedaran umat Islam terhadap kewajipan zakat, malah pembangunan ekonomi mapan secara umumnya, adalah agak kecil dan tidak menyeluruh.

Saya percaya bahawa Lembaga Zakat Selangor dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan masing-masing akan mampu memungut RM1 bilion setahun. Satu pencapaian yang sepatutnya telah dicapai lebih awal, jika kesedaran berzakat benar-benar telah meningkat dan dihayati seperti penghayatan ibadah dan fardu ain oleh umat Islam di negara ini.

Malaysia sebenarnya telah menunjukkan model dan contoh yang paling baik dalam kalangan negara-negara Islam. Dalam usaha memberikan kesedaran agar umat Islam mengeluarkan zakatnya dengan berbagai-bagai usaha dan komitmen kerajaan, maka sudah sampailah masanya kita mencuba membuka mata lebih banyak umat Islam sendiri untuk meningkatkan kesedaran berzakat.

  • Datuk Dr. Ismail Ibrahim merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas