Berita

Dewan Perhimpunan Cina Selangor, KL simbol keragaman fikiran

INILAH Bangunan Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di Jalan Maharajalela, Kampung Attap, Kuala Lumpur.
- Diterbit 13 Februari 2020 5:41 AM MYT

”Di belakang air pancut itu kelihatan bangunan lama tersergam dengan berkubah Rom. Di atasnya tertulis Chinese Assembly Hall atau Dewan Perhimpunan Cina.

BAGI penyokong-penyokong fikiran alternatif atau di luar arus perdana, Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur adalah tidak asing lagi.

Ini kerana di situlah sering diadakan acara seperti forum, majlis peringatan, seminar, persidangan, pelancaran buku dan seumpamanya yang turut melibatkan kumpulan-kumpulan alternatif dan luar arus perdana, tidak kiralah sama ada dari komuniti Cina, Melayu atau India.

Ini kerana pihak pengurusan dewan itu tidak mempunyai halangan bagi sesiapa untuk menganjurkan acara, walaupun ia bersifat menentang kerajaan atau membangkang.

Maka tidak hairanlah pihak kalangan parti pembangkang sering menggunakan dewan itu dari semasa ke semasa. Maknanya sejak negara mencapai kemerdekaan, parti pembangkang dan penyokongnya sering mengadakan acara di situ. Ini termasuklah parti-parti yang meneraju kerajaan hari ini turut menjadikan dewan ini sebagai tempat acara mereka sebelum mereka menang pilihan raya umum pada tahun 2018.

Penulis juga sering menghadiri acara-acara yang diadakan di dewan ini. Di situ terdapat dewan utama dengan beberapa bilik majlis termasuk auditorium.

Antaranya ialah majlis memperingati Said Zahari, bekas pengarang Utusan Melayu yang terkenal sebagai pemimpin mogok pada tahun 1960 membantah penguasaan akhbar itu oleh parti politik.

Majlis yang diadakan selepas beliau meninggal dunia pada tahun 2016 itu dianjurkan oleh sekumpulan sahabat-sahabatnya. Antara sahabat beliau ialah Syed Husin Ali dan Jomo K Sundram serta Gerak Budaya iaitu penerbit buku-buku beliau.

Alternatif

Acara itu adalah antara contoh suatu majlis alternatif atau bukan arus perdana yang diadakan di dewan itu.  Seharusnya majlis memperingati Said Zahari itu diadakan di dewan Utusan Melayu atau Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun oleh kerana Said Zahari bukannya tokoh arus perdana, maka acara bagi memperingati beliau diadakan di Dewan Perhimpunan Cina itu.

Pertama kali melihat bangunan Dewan Perhimpunan Cina di Jalan Maharajalela, di depan Bulatan Merdeka adalah pada tahun 1967, penulis berada di darjah dua. Waktu itu sebelah malam. Dengan menaiki kereta untuk bersiar-siar di Kuala Lumpur pada malam Hari Merdeka, penulis bersama keluarga jiran pergi ke Bulatan Merdeka itu.

Kereta diletakkan di tepi jalan seperti banyak orang lain di situ untuk melihat air pancut besar di tengah-tengah bulatan itu. Pertama kali penulis melihat air pancut yang ketika itu dikenali sebagai Merdeka Circle Fountain. Ia dihiasi dengan pancaran lampu yang berwarna-warni. Tentunya para penonton berasa permai dalam suasana itu. Adalah dirasakan bahawa kerajaan baru membina air pancut itu sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-10.

Dari tingkap kereta di tempat duduk belakang, penulis bersama dua anak jiran, Boy dan Joy menonton air pancut besar itu. Di belakang air pancut itu kelihatan bangunan lama tersergam dengan berkubah Rom. Di atasnya tertulis Chinese Assembly Hall atau Dewan Perhimpunan Cina.

Pertama kali memasuki dewan itu adalah pada tahun 1976, ketika penulis berada di tingkatan lima. Di situ diadakan Pesta Buku Kuala Lumpur yang pertama kali dirancang untuk dijadikan acara tahunan. Banyak penerbit dan penjual buku bahasa Inggeris dan Cina yang menyertainya.

Kini ia bernama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Ia merupakan tempat kegiatan utama komuniti Cina di Kuala Lumpur dan Selangor.

Dewan Perhimpunan Cina menggabungkan persatuan-persatuan perniagaan dan bukan perniagaan Cina. Setiap negeri di Malaysia mempunyai Dewan Perhimpunan Cina, bermakna terdapat 13 dewan seumpama itu di seluruh negara.

Sebelum dikenali sebagai KLSCAH, ia bernama Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Maknanya ia merupakan pusat kegiatan utama bagi komuniti Cina bagi Selangor. Oleh kerana Selangor merupakan negeri penting bagi Tanah Melayu, maka dewan itu tentunya menjadi terkemuka berbanding dewan-dewan perhimpunan Cina yang lain.

Beberapa tahun selepas Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan, terdapat usaha menubuhkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur. Maka berlakulah pertikaian tetapi akhirnya dewan itu menjadi Dewan Perhimpunan Selangor dan Kuala Lumpur.

Bangunan yang mempunyai seni bina neo-klasik itu mempunyai sejarah panjang yang boleh dikaitkan dengan identiti bakal dibentuk terhadap negara ini.

Adalah dipercayai bahawa cadangan pembinaan itu mula dikemukakan pada tahun 1920. Menurut sisipan terbitan bernama Kuala Lumpur, masa lalu, kini dan masa depan yang diterbitkan akhbar The Edge, adalah dikhabarkan bahawa pada mulanya dewan itu hendak dinamakan Dewan Sun Yat Sen, mengambil sempena nama pengasas Republik China.

Bagaimanapun, Residen British di Selangor ketika itu, dipercayai Oswald Stonor membantah nama itu. Adalah dipercaya pihak pentadbir British tidak mahu institusi di Malaya dikaitkan dengan politik China. British juga menolak sebarang patung tokoh itu.

Pentadbir British itu menghalang pemberian surat hak milik tanah ke dewan itu. Hanya bila dipastikan bahawa dewan itu tidak bernama Sun Yat Sen dan tidak ada patung tokoh itu, barulah surat itu diberikan.

Bangunan itu siap dibina pada tahun 1923. Kawasan sebelah bangunan itu ialah Kampung Attap. Rumah-rumah di situ terdiri daripada rumah-rumah kayu beratapkan rumbia atau nipah, sesuatu yang biasa di Kuala Lumpur dan di seluruh Tanah Melayu.

Bagaimanapun, rumah-rumah itu dirobohkan bagi didirikan rumah-rumah batu bertingkat yang kuat dan cantik milik tauke-tauke berjaya Kuala Lumpur. Tetapi rumah terbesar adalah yang terletak di atas bukit tidak jauh daripada situ, yang kemudian dijadikan Istana Negara apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Tempat letaknya bangunan itu adalah strategik dengan ia terletak berhampiran Bukit Petaling di mana terdapatnya Stadium Merdeka, Stadium Negara, Stadium Chinwoo dan Taman Tunku Abdul Rahman. Bulatan di depan dewan itu kemudian dinanakan Merdeka Circle sempena merdeka.

Peristiwa bersejarah dalam merintis kemerdekaan berlaku di dewan itu apabila persidangan pertama Perikatan yang diadakan dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1952.

Bagaimanapun, dewan itu turut menjadi tempat persidangan pihak alternatif iaitu parti-parti kiri Malaya, Singapura dan Sarawak pada tahun awal tahun 1960-an bagi membincangkan soal penubuhan Malaysia Raya. Parti-parti yang hadir ialah Parti Rakyat Malaya, Parti Buruh Malaya, Parti Tindakan Rakyat Singapura (PAP) Barisan Sosialis Singapura dan Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP).

Pada politik kontemporari juga, pada tahun 2003, majlis penyatuan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat juga diadakan di dewan itu.

Bangunan itu telah diisytiharkan sebagai binaan Warisan Negara pada tahun 2007. Ia terus menjadi tempat acara kumpulan alternatif dan bukan arus perdana walaupun kerajaan sudah berubah sejak tahun 2018. Malah ada satu forum bagi membincangkan mengenai penulisan semula sejarah negara pada buku teks supaya ia bersifat seimbang dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.

Dewan Perhimpunan Cina adalah simbol keragaman pandangan dan fikiran warga Kuala Lumpur.

  • Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam industri persuratkhabaran, majalah dan buku. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas