Berita

Kontinjen tilawah, hafazan Wilayah Persekutuan berlepas ke Sabah

MUNIR (tengah) bergambar bersama kontinjen Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Wilayah Persekutuan sebelum mereka berlepas ke Kota Kinabalu di KLIA, Sepang pagi tadi.
- Diterbit 13 Februari 2020 6:42 AM MYT

SEPANG – Kontinjen Wilayah Persekutuan hari ini berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2020M yang akan berlangsung pada 16 hingga 21 Februari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Kontinjen disertai dua orang peserta tilawah dan enam peserta hafazan yang telah menjadi johan dalam kategori masing-masing Peringkat Wilayah Persekutuan pada 23 Januari lalu.

Wilayah Persekutuan diwakili qari, Muadzeen Ackil dan qariah, Lailasari Sabran. Bagi hafazan al-Quran kategori juzuk 1-10 pula diwakili Abdul Mun’im Ihyauddeen dan Zuha Zahran manakala kategori juzuk 1-20 (Haikal Firdaus Mohd. Jaafarudin dan Tasniim Salsabila Fakhrol Radzi.

Sementara itu, kategori juzuk 1-30 diwakili Firdaus Danial Mohd. Adnan dan Norhaafizah Mohd. Shafie.

Majlis pelepasan yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Munir Md. Salleh.

Pengarah JAWI, Mohd. Ajib Ismail berkata, selain usaha dan latihan yang berterusan, restu dan reda ibu bapa serta para guru juga harus diambil berat oleh para peserta.

”Peserta juga diingatkan supaya menjaga kesihatan dan keselamatan sepanjang berada di Kota Kinabalu nanti. Semoga peserta yang mewakili Wilayah Persekutuan akan memperoleh kejayaan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan nanti,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Pemenang-pemenang Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan bergambar bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh (tengah) pada 23 Januari lalu.

Terdahulu peserta qari, qariah dan para huffaz yang mewakili Wilayah Persekutuan telah menjalani latihan intensif dianjurkan JAWI bagi meningkatkan kemahiran serta keupayaan dalam bidang masing-masing. Kursus selama tiga hari itu dibimbing tenaga pengajar yang berkepakaran dalam bidang al-Quran.

Sebelum ini, empat peserta adik beradik telah menarik perhatian masyarakat apabila berjaya memenangi kategori berbeza dalam majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas