Berita

KBS umum Inisiatif Prihatin Sukan 2020

KBS bantu penggiat sukan di Malaysia.
- Diterbit 18 Jun 2020 9:36 AM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan bantuan berjumlah RM10 juta menerusi Inisiatif Prihatin Sukan 2020 kepada persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Pengumuman tersebut merupakan berita gembira buat hampir 200 persatuan sukan kebangsaan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

REEZAL MERICAN

RM10 juta berkenaan meliputi RM2 juta bagi bantuan pengurusan, RM5 juta bantuan menjalankan program dan aktiviti bagi persatuan sukan serta RM3 juta untuk bantuan program pendigitalan dan R&D.

“Inisiatif Prihatin Sukan 2020 merupakan satu langkah proaktif KBS bagi membantu penggiat sukan di Malaysia terutamanya para pemegang taruh dalam kalangan persatuan-persatuan sukan tanah air yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS),” katanya.

Bagaimanapun permohonan daripada persatuan sukan berkenaan adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Jawatankuasa Khas.

Program dan aktiviti yang diluluskan perlu dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Permohonan adalah dibuka dan boleh dibuat dalam talian melalui pautan laman web rasmi KBS: http://www.kbs.gov.my/inisiatifprihatinsukan2020.html

Maklumat lanjut seperti tatacara permohonan dan soalan lazim ‘Inisiatif Prihatin Sukan 2020’ juga boleh dimuat turun melalui pautan yang sama.

Tarikh akhir permohonan adalah sehingga Jumaat, 17 Julai 2020 dan program perlu selesai dilaksanakan dalam tahun ini juga. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas