Berita

Warga emas harap bantuan rumah untuk habiskan sisa hidup

ZAIZALNIZAM bertanya khabar mangsa kebakaran yang ditempatkan di dewan serbaguna Flat Seri Pulau Pinang semasa membuat lawatan dan menyerahkan sumbangan. ZAIZALNIZAM bertanya khabar mangsa kebakaran yang ditempatkan di dewan serbaguna Flat Seri Pulau Pinang semasa membuat lawatan dan menyerahkan sumbangan.
- Diterbit 18 Jun 2020 7:15 AM MYT

“KALAU boleh dapat la rumah balik untuk pakcik. Tak tahu nak cakap, kalau hidup pun mungkin 10 tahun lagi, kalau esok bandaraya nak ambil balik, ambil la. Untuk lepaskan sisa hidup pakcik sahaja,” rintih Ismail Ahmad.

Warga emas berusia 71 tahun ini merupakan salah seorang mangsa kebakaran di Blok 10, Flat Seri Pulau Pinang Lorong Ikan Emas, Taman Ikan Emas Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu.

Dia terpaksa tinggal di dewan serbaguna berhampiran rumahnya sementara menunggu keputusan pemindahan ke rumah transit di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

ISMAIL

Menurut Ismail yang mendiami Flat Seri Pulau Pinang lebih 15 tahun, dia tidak mengharapkan bantuan sumbangan wang ringgit tetapi memohon diberikan tempat tinggal untuk menghabiskan sisa hidupnya.

“Pakcik tidak minta sumbangan, tapi kalau boleh nak minta rumah. Jika perlu bayar sewa, pakcik bayar kerana kalau tak bagi rumah, pakcik pun tidak tahu mana nak pergi,” ujarnya yang berhadapan dengan kesukaran mendapatkan rumah transit seperti mangsa lain.

Menceritakan masalah yang dialami, ujarnya, rumah yang terbakar itu adalah di bawah nama anaknya yang kini menetap di rumah pusaka di Kampung Baru.

Katanya, dia bertukar tempat kediaman kerana ingin memberi keselesaan kepada anak dan cucunya berikutan rumah di Flat Seri Pulau Pinang hanya mempunyai satu bilik.

“Bandaraya kata rumah pakcik akan kena tarik sebab nama anak pakcik dan hanya pakcik yang duduk. Dulu (semasa pendaftaran pemilikan) pakcik ada masukkan nama untuk duduk bersama anak (penama rumah) tetapi (DBKL) mennyatakan rekod itu tidak ada,” ujarnya sebak.

Ismail juga memaklumkan bahawa, semasa kejadian, dia tidak ada di rumah selepas keluar untuk membaiki kereta pada pukul 3 petang dan hanya mengetahui tentang kebakaran selepas dimaklumkan jiran pada pukul 5 petang.

CHEE HEAN

Bagi seorang lagi mangsa kebakaran yang berada di aras 2 blok sama di Flat Seri Pulau Pinang, Ng. Chee Hean, 72, pada masa kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Ujarnya, dia menganggarkan kerugian keseluruhan yang dialami adalah RM7,000 kerana kesemua barang elektrik dan perabot terbakar 100 peratus.

Dia yang juga tinggal di dewan serbaguna sementara menunggu pemindahan ke rumah transit berharap agar mendapat tempat tinggal yang lain supaya tidak perlu berpindah randah.

“Seminggu sudah di sini (dewan serbaguna), bantuan barangan makanan memang dapat, kebajikan kami terjaga,” ujarnya yang turut sedih dengan kejadian berlaku.

Seorang lagi mangsa, Asiah Mat Yasin, 72, yang mendiami aras bawah menyatakan dia bersyukur kerana rumahnya tidak musnah 100 peratus dan hanya mengalami kerosakan di bahagian bumbung tambahan (awning) sahaja.

Dalam pada itu, prihatin dengan kejadian yang menimpa kesemua mangsa kebakaran, Yayasan Wilayah Persekutuan menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun menghulurkan sumbangan wang tunai.

Zaizalnizam berkata, sumbangan tersebut bagi membantu meringankan beban yang dihadapi keluarga terlibat.

Turut hadir, Pelawat Perumahan Pejabat Kecil DBKL di Seri Pulau Pinang, Nadzri Abdullah dan Setiausaha Penduduk Seri Pulau Pinang, Mohd Shukor Ab Majid.

Kesemua penerima turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang dihulurkan. – WILAYAHKU

ZAIZALNIZAM (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Asiah.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas