Berita

Kawalan sempadan diperketat, elak PATI berpenyakit bolos

KAWALAN di pintu sempadan dan lorong tikus akan diperketatkan. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 April 2020 10:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan diarah mengetatkan kawalan di pintu sempadan negara bagi menghalang pendatang asing tanpa izin (PATI) bolos menerusi lorong tikus yang ada.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan terdapat banyak lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan negara selain khuatir golongan PATI yang bolos membawa virus ke negara ini.

“Saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim, Imigresen, Angkatan Sukarelawan (RELA) dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

“Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan ‘the new normal’ atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi.

“Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ia dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus,” jelas beliau.

Menyentuh aspek ekonomi pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi yang terpilih dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Ekoran itu, jelas beliau, jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Kanan Pertahanan akan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad itu bukan bermaksud Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan, sebaliknya pengusaha, kilang atau syarikat perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan kegagalan mematuhinya akan membuatkan kerajaan menarik balik kebenaran yang diberikan.

“Senarai sektor ini akan diumumkan dalam masa terdekat. Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas