Berita

Bedah siasat dapati virus Covid-19 hidup atas badan jenazah

JENAZAH pesakit Covid-19 akan ditayamum di atas plastik selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 April 2020 10:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Bedah siasat yang dijalankan terhadap satu mayat kes berkaitan Covid-19 mengesan terdapat virus pada permukaan badan mayat tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penemuan mendapati terdapat virus Covid-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Bedah siasat yang dijalankan oleh Institut Perubatan Forensik Negara ini dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.

“Penemuan baharu ini adalah selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh kementerian sebelum ini dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah bersidang pada 15 Mac lalu serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada keesokan harinya.

“Tatacara tersebut merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas