Berita

Kawalan Pergerakan Diperketatkan di dua kawasan Simpang Renggam

TENTERA membuat rondaan di sekitar Simpang Renggam.
- Diterbit 26 Mac 2020 1:54 PM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order) di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat susulan terdapat 61 daripada 83 kes jangkitan Covid-19 direkodkan di kawasan berkenaan.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga. Perintah ini akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini hingga 9 April nanti.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tegas Ismail Sabri, semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan terbabit tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

Jelas beliau, bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh tersebut manakala semua aktiviti perniagaan dihentikan.

“Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. oleh itu, bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas