Berita

PPMM mohon bantuan khusus untuk ahli, M40

ZAINUL RIJAL
- Diterbit 26 Mac 2020 2:33 PM MYT

PUTRAJAYA – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memohon bantuan turut disalurkan kepada golongan pertengahan (M40) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), khususnya peguam muda yang baru membina kerjaya.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, PPMM memohon pertimbangan kerajaan agar dapat membantu peguam khususnya ahli PPMM dalam menghadapi kesukaran susulan pelaksanaan arahan kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Jelasnya, bantuan boleh diberikan dalam bentuk ‘one-off’ dana, geran atau rebat mahu pun pinjaman tanpa faedah serta tanpa birokrasi yang boleh melewatkan pemberian tersebut.

“Lebih 60 peratus daripada ahli PPMM merupakan peguam muda yang beramal kurang dari 10 tahun, baru membina kerjaya dan masih belum berjaya serta bebas hutang. Firma guaman mereka juga masih belum kukuh.

“Kebanyakan peguam ini masih tergolong dalam kumpulan M40 dan masih belum mencapai tahap T20 lagi. Jika dilihat dalam waktu sekarang, tumpuan bantuan kebanyakannya diberikan kepada golongan B40 sahaja manakala M40 khususnya yang tinggal di bandar biasanya dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Zainul Rijal memberitahu, PPMM juga menawarkan segala kepakaran yang dimiliki ahlinya dalam menangani pendemik khususnya isu berkaitan undang-undang sivil atau syariah, mediasi dan penasihatan menangani pasca trauma.

Jelasnya, ia berikutan selepas pendemik berakhir atau selepas tempoh PKP tamat, rakyat berkemungkinan mengalami pelbagai masalah perundangan berkaitan peribadi, perniagaan, keluarga atau dalam masyarakat yang perlu ditangani secara professional melalui suatu tindakan bersepadu atas nama menangani masalah pasca trauma. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas