Berita

APMM, Polis Marin pantau pergerakan di perairan Labuan

PASUKAN APMM dan Polis Marin bekerjasana dalam operasi memantau bot penumpang di perairan Labuan.
- Diterbit 26 Mac 2020 1:34 PM MYT

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM ) Zon Labuan mengadakan Operasi Inter bersama Pasukan Polis Marin ( PPM) di perairan Labuan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Operasi Inter yang mula dilaksanakan sejak 24 Mac lalu bagi memantau pergerakan di perairan pulau ini.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, operasi melibatkan tiga aset iaitu Bot Maritim Kilat 23, Kilat 40 dan Bot RH19 dari PPM.

“Operasi bersama itu selain memantau pergerakan, ia juga untuk nilai tahap kesedaran masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan pulau ini terhadap perintah berkenaan,” katanya.

Nor Bakari berkata, kawasan yang terlibat dalam pemantauan operasi itu ialah Terminal Feri Antarabangsa Labuan, Terminal Feri Menumbok, Terminal Labuan Crude Oil (LCOT).

Turut dipantau kawasan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), perkampungan Kiansam, Kampung Muslim, Kampung Baru, Saguking dan laluan masuk Sipitang dan sekitar pulau- pulau di perairaan Labuan.

Melalui operasi itu, APMM dan PPM mahu masyarakat peka dan patuh atas arahan kerajaan.

APMM dan PPM tidak teragak- agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang ingkar mematuhi arahan PKP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas