Berita

Kawal sempadan antara enam langkah PKP dapat ditamatkan

SARINGAN di pintu sempadan perlu lebih ketat bagi mengelak kes jangkitan diimport. Gambar hiasan
- Diterbit 21 April 2020 2:21 PM MYT

PUTRAJAYA – Enam langkah perlu diambil sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat ditamatkan sekali gus memastikan rakyat negara ini selamat daripada pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara utama perlu ditekankan ialah kawalan sempadan bagi mengelak wujudkan kes import.

Kedua, kerajaan perlu mengawal pergerakan orang awam bagi mengelakkan jangkitan kuman berlaku dalam kalangan komuniti.

“Sekarang terdapat 2,041 kes yang boleh berjangkit tetapi kita sudah sekat dan asingkanh pesakit ini untuk elak merebak kepada orang lain.

“Ini antara dua langkah penting yang perlu diambil. Jika kes boleh dikawal, ada pertimbangan untuk kita tamatkan PKP,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Noor Hisham berkata, langkah seterusnya adalah memantapkan sistem dan peralatan hospital.

“Ini dari segi persediaan hospital untuk pesakit positif Covid-19, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mesin bantuan pernafasan.

“Keempat adalah melindungi golongan berisiko seperti warga emas dan kelima elakkan perhimpunan serta amalkan penjarakan sosial.

“Langkah seterusnya adalah perlunya kerjasama dari komuniti,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas